KUCHING: Pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit dijangka siap pada 2026 seperti dijadualkan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata,meskipun projek mega di pedalaman Bahagian Kapit itu mengalami sedikit kelewatan ketika negara dilanda pandemik Covid-19, namun beliau yakin empangan bernilai lebih RM9 bilion itu mampu disiapkan mengikut jadual iaitu pada 2027 kelak.
“Projek itu kini berjalan lancar, selain pandemik Covid-19, antara isu yang dihadapi ialah kekurangan tenaga pekerja.
“Tapi, keadaan beransur pulih dan projek itu berjalan mengikut jadual yang mana saya optimis ia siap dalam tempoh yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas memenuhi undangan rumah terbuka Gawai Dayak di kediaman Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Jalan Lapangan Terbang di sini, malam tadi.
Setelah siapnya empangan tersebut, Sarawak bakal memiliki tiga empangan hidroelektrik.
Dengan sebelum ini, empangan tertua ialah Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Sri Aman yang berkapasiti 100 MW dibina pada 1985.
Selain itu, Empangan Hidroelektrik Bakun di Belaga yang mampu menjana antara 1,700 Megawatt (MW) sehingga 2,110 MW mula beroperasi pada 2014.
Empangan Hidroelektrik Murum juga di Belaga yang mula beroperasi pada 2015 pula mampu menghasilkan antara 635 MW dan 944 MW tenaga elektrik.
Mengulas mengenai cadangan pembinaan empangan hidroelektrik kelima di Trusan, Lawas, Abang Johari berkata, projek itu masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan.
Rumah terbuka Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut dihadiri dua Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Menteri-menteri lain yang turut serta memenuhi jemputan ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh NICKELYSON LAKUN