SARIKEI: Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun ditahan polis selepas disyaki mengamuk dan memecahkan harta benda di salah sebuah tabika di Kampung Rajang, Tanjung Manis.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, kejadian berlaku sekitar 8.20 pagi semalam.
“Remaja ini datang ke tabika dalam keadaan mengamuk.
“Suspek cuba masuk ke dalam kelas dari pintu hadapan, namun gagal kerana ada pembantu murid menahan pintu.
“Setelah itu, suspek cuba mencari jalan lain dengan cara memecahkan tingkap dan pintu belakang tabika, dan berjaya masuk ke dalam tabika.
“Seorang guru wanita tabika itu sempat bergelut dengan suspek untuk membawanya keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan kejadian, katanya, guru wanita itu mengalami kecederaan pada tangan, kaki dan belakang badan akibat bergelut dengan suspek.
“Selepas itu, suspek lari ke tabika berselahan dan cuba memasuki tabika tersebut, namun gagal dan berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Antara barang yang telah dirosakkan oleh suspek adalah lima unit pasu bunga, empat unit cermin tingkap kaca, satu unit pintu kayu dan papan pensel.
“Jumlah anggaran kerugian adalah RM700. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 kerana melakukan khianat harta benda dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, suspek dibawa ke mahkamah majistet Sarikei untuk perintah reman, hari ini.
Oleh EARL ANEK