KOTA SAMARAHAN: Kecacatan fizikal bukan penghalang bagi seorang graduan untuk melakar kecemerlangan hingga ke menara gading.
Mohamad Adhwa Tamam, 23, mengalami kecacatan kedua-dua kakinya apabila mengalami kemalangan jalan raya pada 2014 yang lalu.
Katanya, tidak pernah merasakan kekurangan pada dirinya itu sebagai penghalang untuk dia berusaha bagi mengejar impian dan cita-citanya.
Mohamad Adhwa yang juga pelajar dari jurusan kewangan berkata, tanpa keberkatan dan dorongan ahli keluarganya, dia tidak mampu sampai ke tahap ini.
“Malah, motivasi untuk saya sampai ke tahap ini juga adalah atas dasar usaha daripada diri kita sendiri di samping motivasi daripada ahli keluarga.
“Walaupun kita rasa kita tidak mampu, kita perlu juga melakukannya sampai kita mampu. Sebab kita kita tidak tahu setakat mana kemampuan kita.
“Namun, kalau penat berehatlah tetapi bukan berarti kita mengalah.
“Berusaha selagi mampu dan terokai bidang yang kita minat,” katanya apabila ditemui pemberita Utusan Sarawak semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak kali ke-96 di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau juga memasang impian untuk menyambung pengajiannya ke peringakat yang lebih tinggi lagi.
“Selagi masih mampu saya akan sambung demi membalas kedua-dua jasa ibu bapa saya di samping ingin menjadi insan yang berjaya dan mencapai cita-cita,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN