KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 telah mengubah cara perniagaan dijalankan, dan permintaan terhadap laman perniagaan dalam talian telah meningkat dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneruskan perniagaan mereka.
Di peringkat tempatan, memaparkan jenama di laman perniagaan, sama ada Facebook Ads atau Instagram Ads kini dilihat sebagai ‘keperluan’ untuk memastikan daya tahan perniagaan berikutan banyak kedai tradisional terpaksa ditutup berikutan tata laku pengguna yang berubah secara mendadak, dengan orang ramai memilih untuk membeli-belah dalam talian daripada membeli di kedai yang ramai orang.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Planetmahir Sdn Bhd, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, pada permulaan wabak Covid-19, PKS menghadapi kesukaran untuk memahami dan membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan, terutamanya mereka yang dalam industri berkaitan makanan dan minuman (F&B), hospitaliti dan pelancongan.
“Mereka kemudiannya yakin bahawa satu-satunya cara untuk mereka dapat mengekalkan perniagaan mereka ialah dengan mengubah model perniagaan mereka, memilih dalam talian, memanfaatkan media sosial, menggunakan pemasaran digital sebagai kaedah pemasaran mereka.
“Misalnya, penggiat F&B keluar daripada norma mereka yang menumpukan kepada runcit untuk beralih kepada penghantaran, ‘ghost kitchen’ dan lain-lain. Pendedahan dalam talian adalah penting,” katanya kepada Bernama.
Selain melabur dalam laman web, laman perniagaan dan gerbang pembayaran, beliau turut mencadangkan jenama untuk melabur dalam sistem yang akan membolehkan perniagaan dihubungkan secara terus kepada syarikat penghantaran dan atau pasaran dalam talian seperti Shopee dan Lazada.
“Bagaimanapun, faktor kejayaan yang penting adalah tahap pengetahuan dan nilai pelaburan dalam ciri-ciri seperti Facebook Ads atau Instagram Ads.
“Mereka juga perlu melabur dalam pendigitalan bahan pemasaran mereka seperti video dan grafik,” kata Ahmad Ramzi.
Menurut Facebook, pihaknya telah memperkenalkan beberapa usaha dalam membantu PKS menghadapi krisis COVID-19, antaranya mewujudkan program geran bernilai US$100 juta untuk membantu 30,000 perniagaan kecil di seluruh dunia.
Facebook berkata program itu akan bermula dengan perniagaan di lebih 30 negara yang menempatkan operasinya.
Selain itu, WhatsApp telah melancarkan ‘Coronavirus Information Hub’ menerusi whatsapp.com/coronavirus dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Hab itu bertujuan memberikan panduan ringkas dan boleh dilaksanakan oleh petugas kesihatan, pendidik, pemimpin masyarakat, organisasi yang tidak bermotifkan keuntungan, kerajaan tempatan dan perniagaan tempatan yang bergantung pada WhatsApp untuk berkomunikasi.
Ia juga menawarkan panduan dan sumber umum untuk pengguna mengurangkan penyebaran khabar angin dan terhubung dengan maklumat kesihatan yang tepat.
WhatsApp juga menyumbang US$1 juta kepada International Fact-Checking Network di bawah Institut Poynter untuk membantu mengembangkan Sekutu #CoronaVirusFacts di WhatsApp, yang melibatkan lebih 100 organisasi di 45 negara. – Bernama