AMALAN memburu kepala merupakan satu amalan yang berlaku hampir di seluruh pelosok dunia. Antara sebab mengapa amalan ini dijalankan kerana tujuan pertahanan, keagongan, upacara dan adat. Menurut sejarah kaum-kaum seperti Celts di Eropah, Garo dan Naga di India, Igorot di Filipina, Sumba di Indonesia dan kebanyakan puak asli di Taiwan mengamalkan budaya ini.
Amalan seumpama ini juga dijalankan oleh penduduk pedalaman Sarawak khususnya masyarakat Dayak. Amalan yang mereka panggil ngayau itu adalah amalan yang menunjukkan kehebatan seseorang. Pada ketika itu kegiatan memburu kepala ini digerakkan secara berkumpulan untuk menyerang musuh mereka. Amalan ini berterusan sehingga kedatangan James Brooke ke Sarawak.
Pertembungan budaya
Apabila Rajah James Brooke menjadi pemerintah Sarawak, beberapa peraturan telah dikeluarkan termasuk berkenaan dengan pemburuan kepala. Beliau melihat pemburuan kepala sebagai amalan yang tidak baik. Atas sebab itu beliau telah mengeluarkan satu pengisytiharaan tentang hal ini dengan menyatakan bahawa aktiviti itu sebagai jenayah dan mengenakan hukuman berat termasuk hukuman mati ke atas sesiapa yang terlibat dalam amalan ini.
Raja James Brooke sedar bahawa amalan pemburuan kepala merupakan budaya sesuatu kaum dan arahan beliau tidak akan memberi kesan serta merta ke atas pemberhentian amalan ini. Namun beliau berasa bertanggungjawab melindungi rakyat dibawah pemerintahan beliau daripada aktiviti tersebut. Beliau merasakan bahawa setiap kaum dibawah pemerintahannya adalah bersahabat, dan tindakan menganggu kaum lain tidak harus berlaku.
Atas sebab itu Raja James Brooke menjalankan dua pendekatan untuk menghapuskan kegiatan ini. Pertama Raja James Brooke menggunakan pendekatan sederhana dengan meminta gerakan mubaligh Kristian mendekati orang Dayak. Beliau berharap ajaran Kristian akan dapat mewujudkan keamanan dan menghalang amalan pemburuan kepala.
Pendekatan kedua adalah langkah keras dengan menggunakan kempen peperangan untuk memerangi pihak yang engkar dengan arahan ini. Tindakan tegas Raja James Brooke ini serba sedikit dapat mengawal kegiatan pemburuan kepala. Namun tidak semua penduduk dapat meninggal amalan ini secara serta merta.
Atas sebab itu masih ada amalan ini diteruskan dalam kalangan sebahagian kecil pemimpin Dayak.
Di Batang Lupar misalnya dua ketua orang Dayak bernama Mumbang dan Tendel telah dikenakan hukuman atas amalan pemburuan kepala, dan kedua-dua mereka kemudiannya berpindah ke sempadan kekuasaan Belanda di Borneo.
Namun demikian pada Oktober 1869 Mumbang dengan sokongan pengikutnya dan orang Dayak Delok di Batang Lupar telah mengulangi amalan ini dengan menyerang Lubok Antu. Apabila berita ini sampai ke Simanggang, pemangku residen telah mengumpul bala tenteranya untuk menghukum orang Dayak Delok. Residen Belanda di Pontianak juga dihubungi dan dimaklumkan tentang peristiwa di Lubok Antu. Pihak Belanda juga bertindak untuk menghukum pihak yang terlibat.
Pencerobohan sempadan
Antara masalah untuk mengawal amalan ini ialah pencerobohan orang Dayak dari wilayah Kalimantan Belanda ke Sarawak dan sebaliknya. Mereka meneruskan aktiviti ini dan menyerang penduduk di sempadan Sarawak. Hal ini membimbangkan penduduk yang tinggal di sempadan Sarawak dan Kalimantan. Pencerobohan sempadan ini sering berlaku pada akhir abad ke-19 seperti berlaku pada 1870. Pada tahun itu, orang Dayak Engkias atau Muallang, Kalimantan telah memasuki sempadan Sarawak dan menyerang penduduk Dayak Malikin, Sungai Sadong.
Penduduk Dayak Malikin ini juga menyatakan bahawa serangan serupa pernah berlaku pada 10 tahun sebelum itu. Pencerobohan sempadan ini juga bukan datang dari kawasan penguasaan Belanda di Borneo tetapi terdapat juga orang Dayak dari Batang Lupar menyeberang sempadan ke wilayah Belanda di Borneo.
Kejadian pada Jun 1884 memaparkan bagaimana orang Dayak Batang Lupar melakukan usaha pemburuan kepala di wilayah Belanda dan menyebabkan kematian sembilan orang dan lima cedera dari kalangan orang Dayak Bulaubau Bukit. Residen Belanda di bahagian Barat Borneo meminta agar pihak berkuasa Sarawak menghalang kejadian ini berulang semula.
Pencerobohan sempadan ini agak sukar dikawal kerana ekspedisi pemburuan kepala ini tidak mengenal sempadan. Malah ada kesatuan antara mereka di kedua-dua wilayah untuk melakukan amalan tersebut. Hal inilah dilaporkan oleh Residen Barat Borneo Belanda tentang ada gabungan kaum-kaum di sempadan melakukan pemburuan kepala. Beliau melaporkan bahawa ada kegiatan ini pada November 1884 yang menyebabkan kematian ke atas dua wanita dan seorang lelaki di wilayah Belanda Borneo.
Langkah pembasmian
Kejadian pencerobohan sempadan ini membawa kepada usaha kerajaan Sarawak dan Belanda untuk membanteras kegiatan pemburu kepala. Pada November 1885 kerajaan Belanda membenarkan pihak berkuasa Sarawak melintasi sempadan untuk mengawal pergerakan orang Dayak dari Batang Lupar yang cuba menghidupkan amalan tersebut. Langkah susulan dilakukan dalam pembanterasan amalan ini adalah penghantaran dua pegawai Brooke ke Pontianak untuk membincang hal ini.
Amalan pemburuan kepala ini bukan berlaku di sekitar Sungai Batang Lupar sahaja, tetapi ia juga diamalkan oleh kaum Murut di utara Sarawak bersempadan dengan Brunei dan Borneo Utara (Sabah). Kejadian merentas sempadan antara Sarawak dengan Brunei dan Borneo Utara dalam soal pemburuan kepala ini pernah berlaku pada 1908. Kejadian ini berlaku apabila penduduk yang tinggal di Sungai Temburong, Brunei yang diketuai oleh Sampai dibantu oleh ketua orang Murut di Sungai Trusan, melakukan pemburuan kepala di Sungai Padas di Borneo Utara. Seramai 16 orang Murut telah terkorban dalam aktiviti ini. Ketiga-tiga kerajaan di utara Sarawak ini memberi kerjasama untuk menangkap dan menghukum pihak yang terlibat dalam hal ini.
Balas dendam
Terdapat juga kes-kes terpencil dimana serangan ke atas individu tertentu berlaku. Pada November 1894 seorang Dayak dari Boonan bernama Patun telah dibunuh dan dipenggal kepala. Patun yang sedang memeriksa kebun duriannya dijumpai meninggal dunia oleh anak beliau. Pembunuhan Patun ini dikatakan dilakukan oleh Dayak Merjang di wilayah Borneo Belanda kerana mereka mengakui membuat pemburuan kepala di Boonan.
Mereka menambah bahawa terdapat kejadian pembunuhan orang mereka di wilayah Borneo Belanda oleh orang Dayak Sarawak. Hal ini seumpama tindakan membalas dendam. Sebenarnya langkah pembenterasan amalan pemburuan kepala ini menampak kejayaan walaupun terdapat kes besar pencerobohan wilayah Belanda Borneo pada 1909 yang melibatkan aktiviti tersebut tetapi secara beransur-ansur ia mula menampak kesan dan tiada lagi ekspedisi besar-besaran dijalankan untuk tujuan pemburuan kepala.
Hanya laporan kes-kes terpencil dikenal pasti seperti di Trusan dimana Residen Trusan mendapat laporan pada Ogos 1911 berlaku kes pemburuan kepala yang menyebabkan empat orang Murut terkorban dan kepala mereka dipengal.
Pada 1934 pula berlaku dua kes pemburuan kepala di Sarawak. Kes pertama berlaku pada April 1934 yang membawa tiga orang terkorban. Kes kedua berlaku pada Ogos 1934 dengan dua kematian. Raja Vyner Brooke memandang serius kejadian ini dan menolak pemintaan untuk hanya menjatuhkan hukuman denda, dan ikrar untuk menjaga keamanan keatas pelaku.
Beliau melihat kes tersebut sebagai pembunuhan kejam dan tidak akan memberi layanan atas pemintaan tersebut. Walaupun aktiviti ini diharamkan oleh pihak kerajaan namun pasukan Tentera Bersekutu dalam Perang Dunia Kedua menghidupkan amalan ini semula.
Ini kerana pihak tentera Bersekutu ingin menyemarakkan usaha memerangi tentera Jepun dan meminta penduduk Dayak terlibat. Akibatnya ramai anggota tentera Jepun terbunuh pada penghujung perang tersebut. Namun demikian kerajaan British yang mengambil Sarawak selepas perang membuat larangan semula ke atas amalan ini.
Sehubungan dengan larangan ini pada 1951 Tom Harrison, Kurator Muzium Sarawak, menyatakan bahawa, aktiviti pemburuan kepala tidak lagi berlaku. British pula mula mengakui sikap kepahlawanan orang Dayak dan mula melatih mereka untuk tujuan pembenterasan komunis di Tanah Melayu. Di sini sumbangan besar orang Dayak dalam menjaga keselamatan Tanah Melayu ketika darurat.
Amalan pemburuan kepala mula lenyap dan menjadi sejarah. Yang tinggal hanya momokan tentang penyamun yang berlegar dalam khabar angin mengembalikan kisah silam itu.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia