KUALA KANGSAR: Cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya RM3 sekilogram akan dibawa ke Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan tersebut berdasarkan permintaan dari pekebun kecil yang menyifatkan jumlah tersebut wajar susulan kos input pertanian yang semakin meningkat.
“Sebelum ini dalam Belanjawan 2023 dari RM2.50 telah dinaikkan ke RM2.70, tetapi masih ada permintaan dari pekebun untuk naikkan (harga lantai) lagi.
“Kita akan bawa ke peringkat MOF dan pertimbangkan ikut kemampuan kerajaan,”katanya pada sidang media selepas menyempurnakan ‘flag off’ Trek Komoditi Kementerian Perdagangan dan Komoditi (KPK) Zon Utara di sini, hari ini.
Sebelum ini terdapat cadangan mengkaji semula harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70 yang diumumkan pada Belanjawan 2023.
Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dalam ucapannya berkata Trek Komoditi merupakan program turun padang bertemu pelanggan dan pemegang taruh KPK Tahun 2023.
Program itu menyasarkan tiga zon iaitu Utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Zon Utara Semenanjung menjadi destinasi pertama Trek Komoditi.
“Elemen utama Trek Komoditi ini ialah memperkasa pekebun kecil dan pemegang taruh yang berkaitan.
Selain itu, saya dapat berjumpa sendiri pekebun, mendengar dan melihat sendiri pelaksanaan keberkesanan dasar, inisiatif dan insentif kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Fadillah berkata program tersebut juga merupakan satu platform mengumpul maklumat dan pandangan golongan sasar bagi merangka dasar dan mencari pendekatan proaktif dan efektif pekebun kecil dan pemain industri termasuk pengusaha sektor agrikomoditi.
Katanya, lokasi Kuala Kangsar dipilih sebagai lokasi acara ‘flag off’ bagi program ini kerana terdapat nilai sejarah industri getah asli bertapak di Malaysia.
“Ia bermula sejak 1877 apabila 11 anak pokok getah yang dibawa oleh H. J. Murton dari Taman Botani, Singapura ke negara ini berjaya ditanam dan hidup subur,” katanya.
“Sembilan daripada 11 anak pokok getah telah dibawa ke Kuala Kangsar untuk ditanam dan mula berbunga pada 1880 dan mengeluarkan buah pada 1881.
“Pada hari ini, salah satu pokok getah pertama negara masih teguh berdiri bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar,” katanya.
Pokok getah tersebut katanya telah pun berusia lebih kurang 146 tahun. – Bernama