KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjangkakan kelewatan pengeluaran bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak yang terjejas operasi mereka berikutan pandemik Covid-19 dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam mengakui memang ada PKS yang sudah diluluskan permohonan mereka tetapi belum lagi menerima bantuan berkenaan berikutan dokumentasi pengeluaran kewangan yang perlu disiapkan.
“Memang adalah dalam sekitar 20 pemohon (di Sarawak) yang sudah diluluskan tetapi (bantuan kewangan) tidak dikeluarkan lagi dan jumlah ini amat kecil berbanding yang sudah dikeluarkan.
“Jumlah permohonan yang diterima begitu banyak maka ada kelewatan tetapi dijangkakan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya kepada pemberita semasa melawat projek mendalamkan parit di Kampung Tabuan Selipar Putus, dekat sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan beberapa PKS di sini, baru-baru ini yang mendakwa belum lagi menerima bantuan skim mikro kredit di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) biarpun permohonan mereka sudah diluluskan.
Wan Junaidi berkata, kerajaan menyedari keperluan untuk menyuntik dana yang mencukupi bagi membantu PKS mengharungi cabaran yang dibawa oleh pandemik tersebut yang telah menjejaskan operasi dan pendapatan mereka.
Prihatin Tambahan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal April lepas melibatkan peruntukan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.
Peruntukan ini melibatkan sejumlah RM7.9 bilion sebagai subsidi tambahan kepada PKS untuk meneruskan pembayaran upah kepada pekerja mereka dan RM2.1 bilion sebagai Geran Khas PRIHATIN bagi PKS mikro yang berkelayakan.
Sementara itu, Wan Junaidi yang juga merupakan Ahli Parlimen Santubong berkata beberapa alternatif akan cuba dikaji bagi menggerakkan kembali projek rakyat yang terbengkalai di kawasan parlimen tersebut khususnya ketika pandemik itu melanda.
Menurutnya, banyak projek yang ada antaranya bernilai tidak kurang daripada RM20 juta terhenti apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas dan beliau akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk memulakan kembali projek yang menjadi keutamaan dalam masa terdekat.
“Mungkin dalam bulan Jun ini kita dapat mulakan kembali projek-projek yang menjadi keutamaan ini supaya kehidupan rakyat di kawasan ini tidak terjejas tetapi inipun bergantung kepada kejayaan kita menangani pandemik Covid-19,” katanya.- Bernama