KUCHING: ‘Segulai Sejalai’ yang diangkat sebagai cogan kata perpaduan negara merupakan satu penghormatan buat negeri Sarawak.
Itu antara pandangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah setelah Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim merasmikan frasa iban ‘Segulai Sejalai’, digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.
“Frasa itu juga mencerminkan kesatupaduan masyarakat Sarawak.
“Kalau kita lihat frasa Segulai Sejalai ini cukup mendalam sekali maksudnya.
“Saya melihat ianya sebagai satu penghormatan untuk Sarawak walaupun bahasa itu adalah bahasa Iban tetapi ia difahami oleh semua masyarakat berbilang kaum di negeri ini,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Raya-Ngiling Bidai Gawai Dayak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak di Kuching, semalam.
Jelas Karim, beliau (Perdana Menteri) dapat melihat di Sarawak keadaannya tidak sama seperti apa yang berlaku di tempat-tempat lain.
“Kita di Sarawak meskipun pelbagai bangsa dan agama mereka amat bersatu padu, bertoleransi dan saling faham memahami.
“Sebab itu saya rasakan, frasa Segulai Sejalai memberi ilham kepada Perdana Menteri untuk diguna pakai di seluruh negara,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim berkata ‘Segulai Sejalai’, frasa bahasa Iban di Sarawak akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan ekonomi dan pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Dr Sabariah Putit dan Timbalan Setiausaha kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik.
Oleh Azreen Keria