KUCHING: Sebuah rumah di Taman Malihah, Matang di sini diserbu bagi memberkas seramai tiga lelaki disyaki terlibat dengan keggiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai dari Johor, berada di dalam sebuah bilik di rumah tersebut semasa pemeriksaan dilakukan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) sekitar 11.30 pagi.
Menurutnya, salah seorang daripada suspek menyerahkan satu bekas plastik yang mengandungi empat keratan straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik menemui lima peket lutsinar kecil yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di atas tilam bilik tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Kesemua suspek berusia 27, 34 dan 37 tahun kemudian ditahan dan dadah yang dianggarkan seberat 12.70 gram keseluruhan bernilai sekitar RM2,540 dirampas untuk siasatan lanjut.
“Kesemua suspek semasa disoal siasat juga mengaku telah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah sejak satu tahun lepas,” katanya.
Suspek juga mengaku mendapatkan bekalan dadah tersebut dari seorang lelaki warga tempatan secara ‘bank-in.’
“Usaha diteruskan untuk mengenal pasti dan mengesan pengedar yang terlibat,” katanya.
Oleh Connie Chieng