APAKAH benar kata orang, sebarang kemajuan akan ada cabaran, pengorbanan dialami orang ramai? Kini, rangkaian jalan raya sama ada Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir dan Jalan Persekutuan di negeri ini semakin bertambah baik selain jalan kampung yang sesetengahnya sudah bertar.
Bandar Kapit yang selama ini sesak di dermaga dengan bot ekspres dan bot laju, kini beralih sesak di daratan dengan deretan kenderaan dilaporkan membanjiri bandar itu terutama pada musim perayaan Gawai Dayak, baru-baru ini.
Namun, kita sedih sejak kebelakangan ini banyak berlaku kemalangan maut di jalan raya sama ada sebelum, semasa atau selepas perayaan Hari Gawai Dayak. Begitu juga ketika Hari Raya tempoh hari. Ini belum lagi insiden kebakaran rumah panjang mahupun rumah kampung selain kebakaran bangunan serta rumah di bandar.
Tiada siapa mahu malapetaka berlaku. Tiada siapa ingin terkorban di jalan raya dan tiada siapa mahu hilang tempat tinggal kerana rumah terbakar apatah lagi pada musim perayaan. Menyedihkan.
Awal pagi kelmarin, seorang wanita maut dan dua cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Stapang, Selangau di Sibu.
Sehari sebelum itu, Isnin lalu pula lima individu termasuk seorang bayi berusia dua tahun maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Tamin, juga di kawasan Selangau.
Pada hari kedua Gawai Dayak baru-baru ini, dua maut dan dua lagi cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Berayang, Saratok-Sarikei. Ia kemalangan kendiri apabila kereta yang dipandu terbabas dan terbalik ke dalam longkang di tepi jalan.
Pada 26 Mei lalu, tiga maut manakala empat cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sri Aman-Engkilili berdekatan Kuari Maruk.
Pada 21 Mei, lelaki berusia 54 tahun patah kaki dan luka tangan kanan apabila kereta jenis Toyota Unser yang dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Triton di jalan berhampiran salah sebuah sekolah menengah di Sarikei.
UMUMKAN PUNCA KEMALANGAN
Satu muka surat di sini tidak akan muat untuk melaporkan kes kemalangan jalan raya sejak Januari lalu termasuk ketika musim Tahun Baharu Cina dan Hari Raya.
Dalam setiap kes kemalangan terutama yang membabitkan kehilangan nyawa, pihak bertanggung perlu tampil dengan kenyataan umum mengenai punca sebenar malapetaka itu berlaku. Apakah kerana kecuaian pemandu, masalah kejuruteraan jalan, salah guna pusingan u, pemandu mabuk, selekoh berbahaya, titik panas atau memandu melebihi had dibenarkan.
Apabila semua punca itu diketahui dan diumumkan, maka sesuatu boleh dilakukan selain sebagai ingatan kepada pengguna jalan raya lain. Jika puncanya selekoh berbahaya atau masalah kejuruteraan jalan (jalan tidak rata, berlobang), maka baikilah keadaan. Begitu juga kawasan yang kerap kemalangan (hotspot), bukan setakat baiki keadaan jalan, malah diletakkan papan tanda amaran, dan papan tanda ini memang ada di lokasi tertentu.
Kecuaian pemandu? Isu ini tidak akan selesai selagi seseorang itu tidak memandu dengan lebih berhemah. Begitu juga pemandu mabuk dan mereka yang memandu melebihi had dibenarkan di sesuatu lokasi.
Kita berharap pihak polis dan bomba, tampil dengan kenyataan media mengenai punca kemalangan bukan setakat ‘punca kemalangan masih dalam siasatan’ dan terhenti di situ. Kenyataan mengenai punca itu boleh dibuat sehari dua kemudian atau bergantung kepada bila hasil siasatan selesai.
Namun, satu lagi isu ialah membuat pusingan U secara haram. Dalam pada itu, masih ramai penggguna keliru dan melakukan pusingan U di pusingan P Lebuh Raya Pan Borneo.
Menurut Timbalan Pengarah (Infrastruktur) Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ir. Ts. Cassidy Morris, papan tanda untuk pusingan P adalah 300 meter (m) sebelum pengguna jalan raya membuat pusingan P.
BANYAKKAN PAPAN TANDA
“Pusingan P adalah satu tempat untuk kita berputar ke jalan sebelah atau patah balik dan ia berbentuk P sebab itu kita sebut ia sebagai pusingan P.
“Kalau berbentuk U, kita sebut pusingan U…. dan ia masih di peringkat penyesuaian. Mungkin ramai pengguna jalan raya tidak tahu mengenai pusingan P….. dulu pusingan U, sekarang Pusingan P. Ia berbeza dan masih di peringkat penyesuaian,” katanya seperti dilaporkan media sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang pula meminta Cawangan Lebuhraya Pan Borneo JKR Sarawak menyediakan lebih banyak papan tanda dan papan amaran di sepanjang laluan Lebuh Raya Pan Borneo dari Sibu ke Selangau.
Ini susulan kes kemalangan maut yang berlaku di sepanjang jalan tersebut yang mengorbankan ramai nyawa dalam masa yang singkat baru-baru ini.
“Pihak berkenaan harus menerangkan kepada rakyat tentang penggunaan jalan yang betul, manakah laluan empat lorong yang sudah dibuka dan yang masih membuka dua lorong untuk laluan.
“Ini bukan hanya laluan Lebuh Raya Pan Borneo di Selangau sahaja malah keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak ini bagi mengurangkan kecelakaan jalan raya,” katanya yang juga berkelulusan kejuruteraan awam, kelmarin.
Mungkin juga isu keletihan menjadi salah satu punca kemalangan? Kita juga berharap dibina kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lokasi strategik sama ada di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo atau Jalan Pesisir. Ini penting kerana R&R adalah satu tempat untuk berehat atau tempat perhentian sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.
Apabila rangkaian jalan raya dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025-2026 termasuk pembinaan lapan jambatan utama, dijangkakan lebih banyak kenderaan berada di lebuh raya, jalan pesisir dan jalan kampung.
Kita sama-sama berdoa, jumlah kes kemalangan jalan raya tidak meningkat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak