KUCHING: Sarawak melancarkan menara 5G pertama Asia Tenggara yang dikuasakan oleh Sistem Mikrogrid Suria kepada Hidrogen hari ini.
Pengerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani berkata, katil ujian (test bed) disediakan termasuk sistem hidrogen yang beroperasi dalam mod hibrid sama ada di atas atau di luar grid.
“Ia boleh dikuasakan sepenuhnya oleh sistem suria di tapak untuk menjana hidrogen hijau melalui elektrolisis dan hidrogen hijau untuk menghidupkan sistem telekomunikasi 5G dengan sel bahan api hidrogen.
“Katil ujian solar gabungan yang dibina di atas bumbung dan di atas tanah mempunyai jumlah kapasiti terpasang sebanyak 425kwp, 780 panel solar, yang merupakan sistem suria atas bumbung terbesar di Sarawak.
“Malah katil ujian solar disepadukan dengan sistem penyimpanan bateri untuk mensimulasikan operasi grid hidup-mati,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Simposium dan Pameran Tenaga Hijau di CENTEXS) di sini hari ini.
Morshidi berkata, pada skala yang lebih besar, inisiatif katil ujian ini adalah platform inovasi dengan persekitaran kerja yang sebenar.
“Tujuan katil ujian adalah untuk mempamerkan teknologi, menjalankan penyelidikan dan latihan, mempercepatkan tenaga kerja dan transformasi industri.
“Oleh itu, katil ujian ini adalah penting untuk pembangunan program latihan untuk kekal relevan dan terkini pada setiap masa.
“Dengan latihan praktikal yang berkaitan di atas katil ujian, CENTEXS menyasarkan untuk memupuk bakat digital dalam pelbagai kes penggunaan daripada solar kepada penyimpanan tenaga dan hidrogen hijau, sejajar matlamat kerajaan Sarawak untuk berubah menjadi pemain utama dalam ekonomi hidrogen menjelang 2027,” katanya.
CENTEXS mengalu-alukan sektor swasta, syarikat multinasional dan ahli akademik untuk bekerjasama mempercepatkan transformasi digital yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“CENTEXS dipacu oleh kemajuan ekonomi Sarawak dalam siri gelombang ekonomi bermula dari minyak dan gas, tenaga diperbahrui, Lebuh Raya Pan Borneo, ekonomi digital dan gelombang baharu ke arah tenaga hijau dan ekonomi hidrogen, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Kami sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk memahami dan mencari keperluan industri dan membantu mereka maju dengan membekalkan bakat, dan melatih mereka untuk memenuhi keperluan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dengan CENTEXS dan Lab Tech International Ltd, UCSI University, dan juga CENTEXS Commercial dengan JC Gas Sdn Bhd, Min Soon Transport dan Whitebeard Engineering.
Oleh Azreen Keria