SAMARAHAN: Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dilantik sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) keenam bagi menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah tugas berkenaan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman pada Perbarisan Serah Terima Tugas PMT TD keenam di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.
Perbarisan dimulakan dengan acara Menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan Penyerahan Tongkat Kuasa PMT TD antara Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki Muhammad dan Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi yang disaksikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohamad Ab Rahman.
Untuk rekod, Mohd Sofi menyandang jawatan tersebut selepas dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Mohd Sofi dilahirkan pada 14 April 1970 di Ulu Yam, Selangor dan mulai menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 19 Ogos 1988 dan menjalani Latihan Pegawai Kadet di Duntrron, Australia.
Selepas menamatkan latihan, beliau telah ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1990.
Sebelum menjawat tugas yang disandang sekarang sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat Ke-6, beliau merupakan Ketua Staf Tentera Darat Ke-22 di Markas Tentera Darat bermula 27 Jun tahun lalu.
Beliau juga mempunyai pengalaman berkhidmat di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Pegawai Pemerhati United Nations Mission in Liberia (UNMIL).
Acara perbarisan terdiri daripada lapan detasmen melibatkan seramai 27 pegawai dan 432 anggota pagi tadi turut dihadiri Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Hassan Embong, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan pegawai-pegawai kanan TDM.
Oleh RYNNA SHA’ERRA