SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) bercadang untuk memindahkan Tapak Pasar Malam Sibu yang terletak di Jalan Market ke lokasi baharu di Jalan Khoo Peng Loong.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar dan Peniaga Kecil MPS, Kaunselor Augustine Merikan berkata, ini berikutan Terminal Penumpang Sibu (TPS) sudah jarang digunakan susulan perkhidmatan bot ekspres semakin berkurangan.
“Kawasan tersebut agak sunyi pada waktu malam, dengan adanya lokasi baharu Tapak Pasar Malam Sibu akan menghidupkan semula kawasan tersebut,” jelasnya pada Mesyuarat Penuh Bulanan Ahli MPS, hari ini.
Terdahulu, Augustine memberi maklum balas kepada Kaunselor Dr Johnny Kieh Dullah yang mencadangkan supaya Tapak Pasar Malam Sibu dipindahkan ke Jalan Khoo Peng Loong.
Menurutnya, tujuan pemindahan itu dilakukan kerana pihak majlis sering menerima aduan daripada para pengusaha kedai berdekatan tentang penggunaan tandas mereka sering digunakan oleh penjaja dan pengunjung pasar tersebut.
“Apabila pasar itu dipindahkan ke Jalan Khoo Peng Loong ia mempunyai kemudahan tandas awam yang terletak berdekatan. Pertama TPS yang terletak dihujungnya mempunyai tandas dan kedua tapak penjaja di depannya turut mempunyai tandas.
“Selain itu, tapak baharu yang terletak di tebing Sungai Rajang sudah pasti memberi pemandangan yang menarik,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihak majlis akan mengadakan pertemuan dengan para penjaja di Tapak Pasar Malam Sibu pada Jun ini.
“Bagaimanapun, cadangan pemindahan Tapak Pasar Malam Sibu ini tertakluk dengan persetujuan antara para penjaja dan pihak majlis.
“Kami akan melakukan kajian dengan lebih mendalam tentang perkara ini bagi mengambil kira pelbagai pandangan, faktor dan sebagainya berkenaan dengan pemindahan tersebut,” katanya.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi MPS, Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Rosely.
Oleh AKUN GIMAN