KUCHING: Pelbagai isu melibatkan fasiliti dan perkhidmatan di Hospital Mukah perlu diberikan perhatian pada kadar segera oleh Kerajaan Sarawak, gesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Jelasnya, Hospital Mukah tidak terlepas daripada masalah terpencil yang semua sedia maklum seperti penempatan doktor pakar dan kemudahan perubatan.
“Masalah terpencil yang saya maksudkan adalah dari sudut penjawatan dan kemudahan asas hospital seperti perabot yang usang dan tidak mencukupi.
“Daripada aspek penjawatan, 11 pegawai perubatan yang sepatutnya ditempatkan di Hospital Mukah, kini hanya ada enam sahaja lagi atas sebab yang berpindah tidak digantikan malahan ada yang dipindahkan, tidak kurang juga yang keluar bagi melanjutkan pelajaran.
“Dicadangkan juga agar ada penambahan jururawat memandangkan jumlah sedia ada tidak mencukupi untuk menampung pertambahan jumlah pesakit yang dimasukan ke wad sehingga ada jururawat yang terpaksa bekerja syif berganda apabila ada dalam kalangan rakan mereka cuti bersalin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Hari Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 penggal kedua di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Royston berkata perabot di wad dan bilik pemeriksaan serta kelengkapan sedia ada ketika ini kebanyakkannya sudah uzur dan tidak berfungsi dengan baik sekali gus menjejaskan perkhidmatan yang diberikan.
“Selain itu, pihak Hospital Mukah juga memerlukan dua unit mesin ultrasound untuk kegunaan di unit kecemasan dan jabatan pesakit luar yang dianggarkan berharga RM150,000 ke RM200,000 seunit.
“Mesin ultrasound sedia ada pun sudah sakit, dianggarkan sudah digunakan hampir 30 tahun, setiap kali ingin menggunakan mesin ini, perlu ketuk-ketuk tepuk-tepuk mesra dulu baharu dapat ‘on’.
“Keadaan ini sangat kritikal, kita tidak boleh mengambil ringan hal-hal berkaitan perkhidmatan kesihatan ini.
“Tindakan sewajarnya perlu di ambil. Kalau perlu Kerajaan Negeri untuk bantu dulu, kita bantu. Kalau nak tunggu Kerajaan Persekutuan ambil tindakan sudah pasti memakan masa,” ujarnya.
Royston turut menyatakan apakah pihak kerajaan mempunyai perancangan untuk membina poliklinik di Mukah untuk lebih fokus kepada perkhidmatan kepada pesakit luar agar hospital sedia ada dapat dijadikan sebagai hospital yang dilengkapi doktor pakar dengan kelengkapan kemudahan kesihatan yang dinaiktaraf.
Jelasnya lagi, Pasar Mukah memiliki sebuah klinik komuniti yang dahulunya Klinik 1 Malaysia dan mungkin selepas ini akan dinamakan Klinik Madani.
“Tak kisahlah apa nama klinik berkenaan, apa yang penting adalah perkhidmatannya menepati keperluan rakyat di kawasan ini.
“Masalah yang berlaku di klinik komuniti adalah waktu operasinya yang tidak bertepatan dengan keperluan penduduk.
“Klinik ini mula beroperasi 11.00 pagi hingga 8.00 malam. Penduduk yang datang dari rumah panjang dan perkampungan yang agak jauh dari pasar Mukah biasanya akan datang awal pagi untuk membuat pemeriksaan ringan.
Mereka perlu bergegas balik sebelum tengah hari. Maka dengan itu, waktu operasi klinik berkenaan amatlah perlu diselaraskan semula bersesuaian dengan keperluan penduduk di kawasan ini.”
Beliau mencadangkan waktu operasi yang sesuai bermula 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Justeru, beliau mengajak Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti untuk membuat lawatan kerja ke hospital dan klinik kesihatan di Mukah bagi membantu menyelesaikan masalah ini di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Oleh Azreen Keria