ALEXANDRA LORNA
LUNDU: Sindiket penyeludupan rokok yang dianggarkan bernilai RM168,731.20 termasuk cukai menerusi satu penjejakan, intipan dan serbuan di kawasan Lundu, berjaya ditumpaskan Rabu lalu.
Usaha membanteras penyeludupan rokok digiatkan lagi dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Ibu Pejabat Kuching telah berjaya menumpaskan kegiatan tersebut.
Pengarah Kastam Sarawak, Dato Sharifah Halimah Tuanku Tah berkata sebanyak 9,370 katun rokok bersamaan 187,400 batang telah disita, dengan jumlah anggaran nilai barang sitaan bagi serbuan tersebut adalah sebanyak RM40,952 serta jumlah anggaran amaun duti Kastam yang terlibat sebanyak RM127,779.20.
“Pasukan anggota Kastam dari Cawangan Operasi Darat, Ibu Pejabat Kuching telah melakar satu lagi kejayaan apabila berjaya melakukan tangkapan dan rampasan sebanyak 9,370 pek katun rokok yang dianggarkan bernilai RM168,731.20 termasuk cukai dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah kediaman terpencil di kawasan Lundu.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas rumah kediaman yang dijadikan stor simpanan, pasukan telah menjumpai sebanyak 187,400 batang rokok yang terkandung dalam 9,370 pek katun dengan jumlah dianggarkan bernilai sebanyak RM40,952.00 serta jumlah cukai terlibat dianggarkan berjumlah RM127,779.20,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Kata beliau, kejayaan tersebut adalah hasil maklumat dan risikan sejak kira-kira seminggu lepas sehingga serbuan dilakukan iaitu sekitar jam 2.45 petang hari berkenaan.
“Barangan kes disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Demak Laut untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.
“Seorang lelaki yang disyaki pemilik rumah berkenaan juga ditangkap dalam serbuan tersebut untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan modus operandi sindiket adalah menggunakan sebuah rumah kediaman terpencil sebagai stor penyimpanan 9,370 pek katun rokok putih dan kretek untuk mengelirukan pihak berkuasa.
“Barangan tersebut dipercayai disimpan untuk dijual ke pasaran tempatan di sekitar Daerah Bau, Lundu dan Sematan.
“Rokok pelbagai jenama tersebut dipercayai stok bekalan yang baru sampai untuk pasaran dan memenuhi pemintaan sempena ambang perayaan Gawai Dayak,” katanya. Beliau menegaskan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.