KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sedang bekerjasama dengan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) bagi membangunkan aplikasi pemantauan kehadiran buaya secara ‘real time’ atau dalam masa nyata.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata menerusi aplikasi itu, populasi buaya dapat dipantau secara berterusan dan kawasan panas konflik manusia dan buaya dapat dikenal pasti.
“Secara amnya, dron dan Sistem Kedudukan Global (GPS) digunakan untuk membuat pemerhatian bagi merekodkan taburan dan sarang buaya.
”Menerusi aplikasi pangkalan data ini, populasi buaya dapat dipantau secara berterusan di titik-titik panas (hotspot) konflik manusia dengan buaya,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Mohd Chee mahu tahu apakah langkah yang telah dan akan diambil kerajaan negeri bagi mengatasi ancaman serangan buaya di negeri ini.
Len Talif berkata, kerajaan Sarawak sentiasa aktif dalam melaksanakan langkah-langkah bagi melindungi penduduk dan mengurangkan risiko serangan buaya di kawasan perumahan.
”Setiap laporan akan disiasat untuk mengenal pasti laluan masuk buaya ke kawasan terbabit. Selain itu, pemantauan juga diadakan secara berkala di lokasi dan sungai di kawasan yang dilaporkan dan ketiga mengadakan program kesedaran ’3M’ (mengenali, memahami dan memulihara) buaya dan pemasangan papan tanda amaran.
”Dalam memperkasakan pengurusan buaya di Sarawak, pegawai dan staf yang terlibat sentiasa diberi pendedahan untuk meningkatkan kapasiti pengetahuan dan kebolehan melalui latihan dan penglibatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
”SFC juga menjadi agensi rujukan berkaitan buaya oleh International Union for Conservation of nature (IUCN) Crocodile Specialist Group, negara Brunei, Filipina serta negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, SFC juga akan meningkatkan kerjasama dengan pakar dari Australia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat bagi memperkasa Pelan Pengurusan Bersepadu Buaya sebagai langkah jangka panjang.
Oleh RYNNA SHA’ERRA