KUALA LUMPUR: Meskipun bank digital adalah inovator berbanding bank tradisional dan akan meningkatkan persaingan, impaknya dijangka terhad dalam tempoh tiga tahun akan datang memandangkan sekatan kawal selia ke atas saiz asetnya iaitu tidak melebihi RM2 bilion, kata RAM Rating Sdn Bhd (RAM Ratings).
Agensi penarafan kredit itu berkata bank digital dijangka merangsang lebih banyak inovasi kewangan dan mempercepat transformasi digital industri perbankan Malaysia, tetapi secara keseluruhannya, aset lima bank digital itu hanya mewakili 0.3 peratus daripada industri.
“Bank Negara Malaysia (BNM) juga memerlukan bank-bank digital menumpukan kepada inklusi kewangan bagi menangani jurang pasaran dalam segmen yang kurang mendapat liputan.
“Ini akan mengurangkan persaingan sengit dengan bank tradisional dalam pasaran runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Ketua Bersama Penafaran Institusi Kewangan RAM Ratings Sophia Lee bersempena dengan komentar terbaharu yang dikeluarkan RAM bertajuk “Digital banks will spur financial innovation, not yet a threat to traditional banks”.
Langkah BNM mengeluarkan sehingga lima lesen perbankan digital telah menarik pelbagai pemohon yang berpotensi, termasuk syarikat teknologi, pemain teknologi kewangan (fintech) dan institusi kewangan yang berusaha merebut bahagian pasaran perbankan digital.
Dengan menggunakan teknologi berdasarkan kepada kecerdasan buatan (AI) atau bentuk algoritma prediktif lain bersama dengan analisis data raya, bank digital boleh melaksanakan penilaian alternatif risiko kredit bagi membolehkan inklusi kewangan yang lebih baik dan mempunyai kelebihan kos operasi rendah memandangkan kurangnya intervensi manusia.
Penerima yang berpotensi termasuklah lapan peratus daripada penduduk dewasa yang tidak menggunakan khidmat bank di Malaysia serta perusahaan kecil dan mikro yang tidak dapat mengakses pembiayaan bank tradisional.
Bagaimanapun, keuntungan bank digital dijangka terhad pada permulaan operasi, sama dengan kebanyakan syarikat pemula niaga, memandangkan perbelanjaan awal yang besar bagi membangunkan ekosistem mereka dan keperluan untuk meningkatkan skala dengan sekali sekali menawarkan kadar promosi di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang kompetitif.
“Bank digital tertakluk kepada rangka kawal selia yang sama seperti bank perdagangan walaupun keperluan kecukupan modal dan mudah tunai akan dipermudahkan semasa tempoh asas (antara tiga dan lima tahun).
“Sehubungan itu, kami tidak menjangkakan bank digital bersaing dengan kadar tidak mampan kerana mereka diperlukan untuk membuktikan kemampanan keuntungan dan perniagaan mereka bagi mengekalkan lesen mereka,” kata RAM Ratings.
Kebanyakan usaha niaga digital bank Malaysia setakat ini melibatkan terutamanya pembayaran dan bukannya berian pinjaman. Satu daripada halangan utama adalah tiadanya proses pengesahan identiti digital diluluskan BNM.
Terutamanya, bank pusat tidak lama lagi akan membolehkan penyelesaian eKYC (electronic know-your-customer) bagi penyertaan digital individu dalam sektor kewangan.
Ini akan membolehkan bank mendigitalkan proses penyertaan bagi meningkatkan keselesaan dan capaian, selain mengurangkan kos menyediakan perkhidmatan kewangan.
Bagi tempoh jangka panjang, bank digital mungkin akan membawa kesan bermakna dalam landskap perbankan terutamanya bagi bank tradisional yang berinovasi atau mengukuhkan perancangan digital mereka dengan segera.
“Kami menjangkakan sektor perbankan menjalani transformasi digital seterusnya dalam tempoh jangka panjang,” kata RAM Ratings.- Bernama