DARO: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menyumbang dalam bentuk kewangan untuk pembelian sebuah kontena berharga RM21,300 termasuk kos pengangkutan untuk bilik operasi pasukan bomba sukarela (PBS) Pulau Bruit.
Pengerusi PBS Pulau Bruit, Raduan Serap berkata sumbangan BPHB adalah bernilai RM10,000 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bekas Ahli Parlimen Igan Dato Sri Wahab Dolah turut menyumbang RM6,300 selain sumbangan orang perseorangan.
“Usaha mencari atau membina bilik operasi untuk PBS ini telah bermula sejak 2019 lagi. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menyumbang 10 set peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk keperluan anggota PBS selain jentera memadam kebakaran.
“Semua peralatan ini memerlukan tempat penyimpanan. Saya berharap ada pihak lain sudi menghulur kenderaan untuk mengangkut jentera pam bomba bagi tujuan operasi di lapangan kerana sebelum ini kami (PBS) terpaksa menyewa kenderaan untuk mengangkut jentera tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini operasi penyerahan pusat operasi PBS Pulau Bruit oleh BPHB disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman@Husaini bertempat di Kampung Betanak.
Turut hadir Ketua Zon 4 JBPM, Andy Alie, ketua balai dan pegawai kanan zon serta anggota.
Turut diadakan ialah simbolik penyerahan alat pemadam api kepada enam kampung iaitu Kampung Penipah, Tekajong, Salak Kecil, Betanak, Penyibong dan Penuai.
Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Khirudin berharap pusat operasi PBS itu akan memudahkan segala aktiviti dirancang dengan lebih teratur.
“Ini termasuk perbincangan dan latihan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih kerap bagi memantapkan pasukan,” katanya.
Untuk rekod, PBS Pulau Bruit telah terlibat dengan tujuh siri memadam kebakaran belukar di kawasan Pulau Bruit sejak 2018 dan pernah terbabit dalam operasi menyelamat dan mencari (SAR) mangsa lemas.