IPOH: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) akan membuka proses bidaan secara kompetitif untuk Program Solar Berskala Besar oleh Industri Elektrik Malaysia Bagi Menarik Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui (LSS@MenTARI) mulai 31 Mei ini untuk tempoh tiga bulan.
Menteri berkenaan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, menerusi LSS@MenTARI, sebanyak 1,000 megawatt (MW) kuota solar ditawarkan melalui proses bidaan dan hanya dibuka kepada syarikat milik tempatan sepenuhnya atau sekurangnya-kurangnya 75 peratus pegangan saham tempatan untuk syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Katanya, tawaran kuota kali ini adalah yang terbesar di bawah program LSS yang mana sebanyak 370MW solar ditawarkan semasa LSS-1, LSS-2 (520MW) dan LSS-3 (500MW), dan langkah itu bertujuan memulihkan dan merangsang ekonomi yang terjejas susulan penularan pandemik Covid-19.
“Ia juga bertujuan merancakkan pembangunan industri pembekalan elektrik negara khususnya Tenaga Boleh Diperbaharui,” katanya dalam sidang media mengenai LSS@MenTARI di pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Perak di sini, semalam.
Shamsul Anuar berkata, kementerian menetapkan kapasiti maksimum yang boleh dibida oleh setiap pemaju diturunkan daripada 100MW sebelum ini kepada hanya 50MW bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengiat industri solar membuat bidaan.
“Setiap pemaju boleh mengemukakan maksimum tiga bidaan sahaja. Tempoh serahan dokumen adalah tiga bulan berbanding enam bulan bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dimulakan sebelum akhir 2020,” katanya sambil memaklumkan maklumat lanjut akan dikeluarkan oleh pihak ST dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kementerian menjangkakan program LSS@MenTARI akan menarik pelaburan sebanyak RM4 bilion dan menjana 12,000 peluang pekerjaan kerana 1MW solar boleh mewujudkan sebanyak 12 peluang pekerjaan.
Menurut Shamsul Anuar, loji jana kuasa di bawah program LSS@MenTARI dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada 31 Disember 2023 berikutan pembangunan setiap loji mengambil masa sehingga 18 bulan. – Bernama