ALOR SETAR: Bekas pemain sepak takraw negara Adnan Saidin, 66, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira 6.00 pagi tadi akibat masalah kesihatan.
Anaknya Mohd Faizal Adnan, 38, berkata, Allahyarham bapanya itu mula dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di sini sejak seminggu lepas sebelum dirujuk ke HSB, semalam.
“Pada awalnya, ayah dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar kerana disyaki menghidap tibi sebelum mengalami masalah pada jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru. Masuk hari ketiga dirawat, dia tidak sedarkan diri dan imbasan pada kepala mendapati terdapat pendarahan dalam kepalanya.
“Selepas itu, Allahyarham telah dirujuk ke HSB semalam dan meninggal dunia hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di HSB di sini, hari ini.
Mohd Faizal berkata, sebelum Allahyarham dimasukkan ke pusat perubatan swasta itu, keadaan bapanya memang sudah kelihatan lemah.
“Kebiasaannya, kalau Aidilfitri memang dia akan berjalan tetapi tahun ini nampak tidak larat dan semua ahli keluarga yang lain datang beraya di rumah. Sebelum dia tidak sedarkan diri, kami ada bersembang seperti biasa dan dia juga sempat menonton televisyen.
“Sebelum dimasukkan ke pusat perubatan itu, dia ada juga menonton sukan sepak takraw di televisyen kerana dia memang cintakan sukan itu serta kalau bab-bab sukan ini memang semua Allahyarham ambil tahu,” katanya.
Beliau berkata Allahyarham bapanya akan dikebumikan di Kampung Padang, dekat sini selepas solat zuhur nanti.
Bekas ketua pasukan negara dari 1980 hingga 1986 dan Kedah dari 1976 hingga 1992 itu dilahirkan di Kampung Padang, Tandop, dekat sini dan mula berjinak-jinak dalam sukan itu sejak berusia lapan tahun lagi.
Hampir 20 tahun berkecimpung dalam sukan itu, bekas raja libas sepak takraw negara itu banyak melakar kenangan manis terutamanya ketika berdepan musuh tradisi, Thailand pada aksi final Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada 1979.
Kehebatan Adnan dalam sukan itu membolehkan Allahyarham dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Adnan meninggalkan seorang isteri dan enam anak. – Bernama