KUCHING: Politeknik Sarawak berjaya melahirkan ramai graduan yang menjadi usahawan dalam ekonomi gig.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi gig bercirikan jangka pendek, fleksibel atau bebas dari segi masa serta tidak terikat sebagai alternatif untuk menjana pendapatan.
Ini dipacu oleh persekitaran digital dan kesediaan aplikasi untuk menyampaikan maklumat serta peluang untuk bekerja.
“Saya difahamkan bahawa seramai 964 usahawan pelajar dan usahawan graduan Politeknik Kuching Sarawak telah terlibat dalam ekonomi gig pada 2022.
“Malah saya turut difahamkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan Politeknik Kuching Sarawak berjaya melepasi kadar kebolehpasaran 90 peratus sepanjang tiga tahun berturut-turut.
“Ini menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan politeknik yang melebihi 90 peratus bahawa graduan politeknik sentiasa menjadi pilihan majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Annuar Rapaee
pada majlis Konvokesyen ke 31 Politeknik Kuching Sarawak di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Jelas Abang Johari, menerusi program TVET dalam sektor pendidikan tinggi Politeknik harus tidak ketinggalan dalam memantapkan lagi jaringan kolaborasi strategik bersama rakan industri dan academia.
Selain meningkatkan lagi strategi dalam bidang teknologi supaya mampu mempersiapkan pelajar selaras dengan tuntutan institusi.
Bidang TVET menjadi permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan merupakan modal insan yang sangat diperlukan dalam pelbagai sektor industri.
Ujarnya, pelaksanaan pelbagai program TVET dan STEM akan terus diberi penekanan sebagai usaha mempersiapkan para pelajar mendepani cabaran pekerjaan yang kompetitif pada masa akan datang.
Jelasnya lagi, untuk merealisasikan aspirasi Sarawak, Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) telah diformulasikan yang mana mengandungi tujuh teras strategik dan berteraskan enam sektor ekonomi sebagai enjin utama pertumbuhan, yang akan disokong oleh tujuh pemboleh ataupun enabler.
“Antara pemboleh atau enabler ini yang boleh dikaitkan dengan pendidikan TVET adalah transformasi digital, inovasi dan pendidikan serta pembangunan modal insan.
“Sehubungan itu, kita sentiasa memastikan pelajar bersedia untuk menceburi ke bidang pekerjaan dengan pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dan relevan dengan kehendak industri, selaras dengan aspirasi Sarawak untukmenjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.”
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan kerana memilih Politeknik Kuching Sarawak sebagai landasan pengajian.
“Tahniah kepada politeknik yang mengorak awal mengatur langkah dalam mempelopori pelbagai bidang yang berimpak tinggi selari dengan keperluan industri bagi menyemarakkan transformasi negara.
“Kepada graduan TVET khasnya graduan politeknik, peluang kerjaya tidak terhad kepada makan gaji semata-mata, malah lulusan TVET digalakkan untuk menceburi bidang keusahawan dalam bidang digital dan teknikal yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat,” jelasnya.
Tahun ini, “POLYCC Pemacu Negara MADANI” adalah tema horizon baharu ke arah mentransformasi POLYCC agar menjadi lebih mandiri, kalis cabaran masa hadapan serta mempunyai keboleh saingan yang tinggi.
Tema pada kali ini adalah inspirasi daripada dasar peringkat nasional yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri iaitu “Membangun Malaysia MADANI”.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Teknologis Muhamad Rumzi Mamat, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Hikmatullah Hajid Ahmad Khan, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Kuching Sarawak Teknologis Marlina Abdul Manaf dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Kuching Sarawak Ustaz Mahathir Mohamad Kamin.
Oleh Azreen Keria