KUCHING: Seramai 200 atlet Muaythai termasuk dari luar negara akan berentap dalam kejohanan Muaythai Piala TYT Sarawak 2023 pada hari ini (12 Mei) hingga Ahad (14 Mei) bertempat di Panggung Udara Kuching.
Negara-negara luar yang menyertai kejohanan kali ini adalah dari Thailand, Kemboja, Yaman, Singapura, Filipina dan Maghribi.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datu Junaidi Reduan berkata, selain menggiatkan aktiviti sukan, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa juga berperanan dalam meningkatkan sektor pelancongan Sarawak yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 sebelum ini.
“Ini adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) di mana pelancongan diletakkan sebagai salah satu teras dalam menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
“Selain daripada kegiatan sukan, penganjuran kejohanan ini dapat merancakkan sektor pelancongan sukan Sarawak dan membantu memulihkan ekonomi negeri ini yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 hampir tiga tahun sejak 2020.
“Sektor pelancongan juga sangat penting dan merupakan salah satu teras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) yang digariskan oleh Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini maju pada 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi memperkenalkan peserta kejohanan Muaythai Piala TYT Sarawak 2023 di Tebingan Kuching, semalam.
Dalam pada itu, beliau memuji komitmen dan usaha berterusan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dalam memartabatkan sukan muaythai Sarawak hingga dikenali di peringkat antarabangsa.
Katanya, pihak DBKU akan terus menyokong dan mendokong penganjuran acara-acara sukan di negeri ini bagi menyediakan platform kepada masyarakat khususnya golongan belia bergiat aktif dalam aktiviti sihat.
Untuk rekod, kemasukan penonton untuk kejohanan yang berlangsung selama tiga hari ini adalah percuma.
Turut hadir, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim dan Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Nasir Lariwoo.
Oleh Mohd Neenatul Aizal