Oleh: Abang Median Abang Said
AWANG ALFIZAN merupakan cerpenis yang dicungkil bakatnya melalui pertandingan penulisan cerpen anjuran PUTERA-DBP pada tahun 2021 apabila dia dinamakan sebagai pemenang pertama melalui cerpennya, “Aku Bukan Mak Nyah”. Cerpen-cerpennya yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa Dan Sastera, tidak pernah mengecewakan dan sering mendapat respons positif daripada pengulas. Persoalannya, adakah karya Awang Alfizan sudah boleh disiarkan dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa yakni wadah yang menempatkan karya-karya penulis yang sudah mapan?
Antara tuntutan pihak editor akhbar ialah mahukan karya yang selari dengan isu semasa atau perayaan – untuk sebulan kebelakangan ini, pastinya karya tentang bulan Ramadan dan juga saat menyambut lebaran. Para penulis pun cuba memanipulasi situasi tersebut untuk menempatkan karya masing-masing yang pastinya mempunyai ruang yang sangat terhad. Antara masalah yang akan didepani oleh para penulis untuk menghasilkan karya yang mempunyai tema yang sedemikian ialah mereka akan terperangkap dalam takar stereotaipisme – cerita, binaan plot dan persoalan yang dikemukakan selalunya klise. Para penulis akan mengetengahkan cerita-cerita yang berulang – hanya langgam penceritaan sahaja yang mungkin sedikit berbeza. Mereka sukar mencari pembaharuan dan sesuatu yang segar dalam karya yang dihasilkan. Pembaca juga selalunya dapat mengagak apa yang ingin disampaikan. Perkara yang sama dihadapi oleh Awang Alfizan dalam pengolahan cerpen “Mangkuk Tingkat Lebaran” yang memperkatakan tentang kasih sayang pasangan suami isteri yang digambarkan melalui watak “aku” dan isterinya, Tom, serta pengabaian yang dilakukan oleh anak-anak mereka yang terlalu menitikberatkan tentang kerjaya dan keluarga masing-masing. Tema sebegini sememangnya telah menetas dan membiak sejak dahulu lagi sama ada dalam karya penulisan di akhbar atau drama penyiaran di televisyen. Cabaran yang perlu disahut oleh penulis adalah untuk mencari sesuatu yang baharu dan segar untuk diketengahkan.
Sebagai catatan, karya saya disiarkan di ruangan Yang Indah Itu Bahasa untuk slot lebaran sebanyak dua kali – yakni tahun-tahun kebelakangan ini, untuk tahun 2020 dan 2022. Sebagai penulis, saya ingin mencari kelainan pada karya yang dihasilkan biarpun berlatarmasakan tentang lebaran. Oleh itu, saya cuba mengaitkan tentang masalah dementia vaskular, iaitu masalah ingatan yang juga disebabkan oleh hipertensi yang dialami oleh watak antagonis dalam cerpen berkenaan. Tentunya tema dan persoalan yang bersangkut-paut tentang watak yang mengidap dementia ini jarang atau mungkin tidak pernah ditulis (mengaitkan tentang watak yang lupa tentang kesalahan dan dosa yang pernah dilakukannya sewaktu hari raya). Watak tersebut juga digambarkan mengalami aphasia, iaitu masalah dari segi pertuturan. Itulah kelainan yang cuba saya tonjolkan dalam cerpen “Dementia di Pagi Syawal”. Untuk menghasilkan karya yang segar selain mendapat perhatian daripada para pengkritik sastera dan juga pembaca, Awang Alfizan perlu mencari kelainan dari aspek subjek yang ingin diketengahkan, selain memikirkan teknik penceritaan yang berbeza. Menurut Seno Gumira Ajidarma yang pernah menghasilkan cerpen bertemakan lebaran bertajuk “Gerobak”, kehebatan seorang cerpenis terletak pada kebijakannya mencari subjek dan menggerakkan cerita serta keupayaan membawa pembaca kepada penyelesaian yang memukau dan tidak terduga.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna cerpen “Mangkuk Tingkat Lebaran” tidak mempunyai keistimewaan kerana kasih sayang yang digambarkan dalam cerpen berkenaan ialah sesuatu yang universal. Cinta sesuatu yang klise tetapi tetap indah. Tidak ada sesiapa yang mampu menafikan keindahan cinta. Perkara itulah yang dialami oleh watak “aku” yang masih merasai kasih sayang isterinya, Tom. ‘Aku’merindui masakan isterinya – makanan yang dimasak dengan resepi cinta. Namun pemergian Tom ke alam abadi menyebabkan ”aku” berasa semakin lemah – tidak ada sesiapa lagi yang mempedulikan tentang kesihatannya. Tidak ada lagi Tom yang sering memicit sendinya yang sering berasa sengal. Perkara ini dikupas oleh penulis dengan pengolahan bahasa yang segar :
“Aduh.” Lutut tua yang sudah goyah umpama engsel karat rapuh itu aku usap perlahan-lahan. Dari paha hingga ke betis dipicit menggunakan minyak gamat. Maklumlah, Tom sudah tiada untuk mengurut kakiku setiap kali aku mengadu kesakitan. Pedihnya mengalir melalui urat sarafku sehingga mencucuk-cucuk tubuh. Hidupku sukar tanpamu, Tom.
Teknik monolog dalaman yang digunakan oleh pengarang untuk berinteraksi dengan isterinya yang telah lama pergi telah memberikan kesan emosi kepada pembaca untuk merasai keakraban dan kasih sayang antara dua watak tersebut – biarpun telah dipisahkan oleh dunia yang berbeza. Faktor kesihatan itu jugalah menyebabkan “aku” tidak pergi ke surau yang terletak agak jauh dari rumahnya untuk melaungkan takbir raya. Semua ini meninggalkan kesan emosi kepada watak “aku”.
Antara persoalan yang diketengahkan oleh penulis dalam cerpen ini ialah tentang isu menghantar ibu bapa yang sudah uzur ke rumah orang tua. Antara alasan tipikal yang dikemukakan adalah tentang jarak tempat kerja dengan kampung yang menyukarkan daripada aspek pemantauan, selain alasan yang sengaja diada-adakan seperti untuk mengelakkan ibu bapa daripada kebosanan, pemantauan profesional atau apa-apa sahaja alasan lain. Dalam cerpen ini, “aku” cuba menolak cadangan yang dikemukakan oleh anak-anaknya biarpun diberikan dengan pelbagai risalah yang memperkatakan tentang kebaikan tempat tersebut. Nilai sentimental terutama kenangan bersama-sama Tom menyebabkan “aku” tidak berganjak daripada keputusannya.
Biarpun persoalan ini nampak biasa tetapi memberikan impak yang mendalam dari aspek keagamaan. Seorang anak sangat dituntut oleh agama Islam untuk menjaga orang tuanya dengan baik serta wajib menjaga adab dan sopan sewaktu berdepan dengan mereka, malahan dalam al-Quran juga ada menyebut dan menyentuh perkara ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’, ayat ke-23 bermaksud:
“Dan tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jikalau salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ha’, dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Sememangnya, isu menempatkan ibu atau bapa di rumah orang tua ialah tindakan yang harus dan dibolehkan jika mereka menyukainya. Begitu juga jika layanan yang diberikan adalah baik dan tiada unsur penganiayaan terhadap mereka. Namun dalam konteks cerpen ini, watak utamanya tidak selesa dengan desakan anak-anaknya.
Binaan plot cerpen ini berjalan dengan lancar – selancar bahasa penulis yang sangat baik sehingga pembaca merasai kesan emosi terutama pada waktak utama cerpen berkenaan. Dengan pengolahan bahasa yang menarik, latar peristiwa juga digambarkan dengan jelas. Penulis banyak menggunakan teknik imbas kembali malah hampir keseluruhan cerpen ini digerakkan melalui imbasan masa lalu watak “aku”. Antara kenangan yang diungkapkan dalam cerpen berkenaan adalah kebaikan Tom yang menyediakan makanan kepada suaminya termasuk menyelitkan wang berjumlah RM50, iaitu untuk suaminya membeli baju seragam pengawal yang baharu.
Dalam menghasilkan sesebuah karya, para penulis selalunya mempunyai leitmotif yang menjadi titik awal untuk menggerakkan plot sehingga menjadi suatu bentuk yang tersendiri. Dalam cerpen “Mangkuk Tingkat Lebaran” ini, ketidakpedulian anak-anak kepada kerinduan dan perasaan orang tua mereka menjadi elemen utama yang ingin diketengahkan pengarang.
Kedegilan anak-anak “aku” dan Tom yang tidak mahu pulang biarpun pada malam raya sangat memberi kesan terutama apabila Tom dilaporkan sakit. Dialog yang diucapkan oleh anak-anak mereka menggambarkan tentang sikap mereka yang tidak sensitif dan pastinya melukakan perasaan:
“Adik sibuklah abah.tak dapat balik raya kali ni. Suruh mak makan ubat nanti sembuhlah,” balas anak bongsuku.
“Ni mesti mak pura-pura sakit supaya kami balik kampung. Abang tahun ni sambut raya di bandar saja. Di rumah mentua. Raya kelima nanti baru kami pulang ke sana. Itu pun kalau ada cuti lebih,” kata anak sulungku.
Penulis sengaja meruntun perasaan pembaca apabila menggambarkan “aku” yang mengendong tubuh kecil Tom lalu meletakkannya di atas kereta sorong. Dia yang tidak mempunyai sebarang kenderaan membawa isterinya ke hospital dengan kereta sorong lama yang sering digunakan ketika berkebun. Hanya itulah kudrat yang mampu dilakukannya. Beberapa helai daun pisang menutupi tubuh Tom agar dia tidak terkena hujan yang mencurah. Dia bergegas menyorong kereta sorong itu dengan mengharungi ribut yang lebat melanda.
Penulis bijak melonjakkan elemen dramatik apabila roda kereta sorong tersangkut pada lopak air yang dalam. “Aku” berusaha menolaknya dengan kudrat yang tersisa meskipun tulang belakangnya sudah berdenyut-denyut kesakitan. Peristiwa tersebut seperti hidup dengan gambaran yang mengesankan. Tom yang tidak mampu bertahan akhirnya telah dijemput Ilahi. Penulis telah menyusun dialog yang cuba meruntun pembaca :
“Tom pergi dulu ya bang. Jumpa di sana nanti. Tom tunggu abang.”
“Jangan cakap macamtu tom. Jangan pergi dulu!” Aku cuba untuk menolak kereta sorong itu lagi dan lagi tetapi hasilnya tetap nihil. Aku tidak mahu menerima kenyataan itu. Aku mesti berusaha sehabisnya.
“Se… selamat hari ra… raya, abang. Maaf lepas ni dah tiada bekal mangkuk tingkat lagi.” Ucapan terakhir tom kepadaku sebelum matanya tertutup untuk selamanya.
Biarpun dialog yang cuba diolah oleh penulis nampak meleret tetapi dialog itu tetap fungsional untuk menunjukkan kekuatan elemen kasih sayang dan kekeluargaan sehingga pemergian Tom memberikan kesan yang mendalam kepada “aku”.
Seelok-eloknya anak-anak perlu sentiasa berpakat untuk menjaga orang tua mereka dan yang paling baik, adanya giliran anak-anak serta saling berlumba-lumba untuk berbakti kepada orang tua. Nilai dan pengajaran inilah yang cuba dilontarkan oleh penulis untuk dihadam oleh pembaca. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, maksudnya:
“Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”
Sepatutnya pemergian ibu mereka, Tom, akan memberikan kesedaran kepada anak-anak. Itu yang sepatutnya berlaku. Namun penulis tidak mengolahnya sedemikian rupa. Penulis tentunya ingin memberikan teguran bahawa masalah tersebut tetap menjadi masalah yang berpanjangan sehingga kini tanpa sebarang penyelesaian. Anak-anak “aku” masih bertelagah dan bersoal-jawab – siapakah antara mereka yang perlu menjaga ayah mereka.
Walaupun pada permulaannya, “aku’ berkeras untuk tidak meninggalkan rumah yang banyak menyimpan memori itu, namun akhirnya “aku” beralah apabila memikirkan ketiadaan Tom di rumah itu lagi. Sepatutnya, penulis menimbulkan ketegangan atau mencipta sebab – mengapa “aku” menukar keputusannya. Penulis perlu memberikan kewajaran atas tindakan “aku” itu. Dalam cerpen ini, tindakan yang dilakukan oleh “aku” seperti dibuat secara tiba-tiba tanpa penjelasan yang konkrit.
Antara kelebihan yang dimiliki oleh penulis sehingga saya meletakkan dirinya sebagai penulis masa depan yang menjanjikan ialah dari aspek pengolahan bahasanya yang segar dan lancar. Lihat sahaja pendahuluan cerpen yang diolah oleh penulis dengan ayat yang panjang namun kena pada tempat:
Tatkala gema azan maghrib melingkar lalu mencelah ruang udara dalam ketenangan senja yang syahdu, aku membengkokkan kedua-dua belah lutut secara perlahan-lahan, melonjak-lonjakkan tubuh lantas melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang usang itu.
Walau bagaimanapun, terdapat pemilihan perkataan yang bombastik, kedengaran menarik namun mempunyai kejanggalan daripada aspek makna. Contohnya: tatkala gema azan maghrib melingkar lalu mencelah … .Pemilihan perkataan ‘melingkar’ yang membawa maksud membelit, melilit atau bergelung – tentunya tidak sesuai untuk dikaitkan dengan gema azan maghrib. Perkataan ‘berlantunan’ atau ‘menyendat ruang’ boleh menggantikan perkataan ‘melingkar’ yang digunakan penulis.
Terdapat beberapa kesilapan kecil lain yang dilakukan oleh penulis yang menuntut pembacaan kedua agar pengeditan dapat dijalankan dengan sebaik yang mungkin. Antara kesilapan tersebut :
Walaubagaimanapun – walau bagaimanapun
Tidak pernah aku menggunakannya meskipun satu sen – tidak pernah aku gunakan meskipun satu sen
Berpelukkan – berpelukan
Macamtu – macam tu
Pengembumian – pengebumian
Biarpun kesilapan-kesilapan ini tidak menjejaskan kualiti secara keseluruhan cerpen, namun sebagai penulis yang bertanggungjawab, penulis perlu melakukan penelitian yang rinci. Pembacaan kali kedua dan pengeditan perlu dilakukan berkali-kali untuk mengurangkan sebarang kesilapan. Frankie Latit umpamanya, menjadikan rakan-rakan penulisnya sebagai individu yang akan mengedit aspek bahasa atau untuk dia mendapatkan ulasan awal. Maknanya, sebagai penulis muda yang mempunyai potensi yang besar, Awang Alfizan juga perlu mencari rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama untuk sesi pencambahan idea dengan bersembang tentang sastera atau sebagai pengulas awal sebelum sesebuah karya itu dihantar ke penerbitan. Sebab itu aktiviti sastera seperti simposium, seminar, minggu sastera, bengkel atau apa-apa pun aktiviti – semua itu sangat penting dan memberi manfaat kepada para penulis yang ingin mencari tapak ampuh dalam penulisan.
Sebagai cerpenis di Sarawak atau sebagai sebagai pengulas mahupun pengkritik yang melihat perkembangan penulisan di negeri Sarawak, saya beranggapan Awang Alfizan mempunyai potensi yang sangat tinggi dalam penulisan cerpen. Hasil karyanya, sudah boleh diangkat untuk ditempatkan ke ruangan Yang Indah Itu Bahasa. Sudah tiba masanya, penulis bersaing dengan penulis-penulis lain yang sudah mapan. Yang penting, semoga penulis semakin berani meneroka sesuatu yang baharu dalam karya – keluar dari kebiasaan, mencari kelainan daripada aspek subjek atau teknik persembahan karya itu sendiri. Kerajinan untuk menelaah dan membaca karya-karya penulis luar negara pasti akan memberikan dimensi baharu dalam karya penulis pada masa akan datang.
Sememangnya “Mangkuk Tingkat Lebaran” berupaya meletakkan penulis pada satu tingkat yang baik.
Salam lebaran.