KUCHING: Kadar kelahiran di Sarawak perlu diberikan perhatian bagi mengatasi masalah masyarakat yang semakin menua (ageing society) di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, masalah ini berlaku kepada setiap negara yang membangun.
Katanya, kadar kematian tahunan di Sarawak adalah 14,000 dan kadar kelahiran di Sarawak pula adalah 20,000, ini menjadikan penambahan penduduk tahunan di Sarawak hanya 6,000 orang.
“Perkara ini akan beri cabaran kepada Sarawak kerana menjelang 2027, komuniti kita akan menjadi tua.
“Apabila menuju ke komuniti menua, ia akan memberi kesan terhadap warga tua khususnya dari segi penjagaan kesihatan, kewangan dan sebagainya kerana tiada waris yang menjaga.
“Jadi, bagaimana warga tua hendak membuat bayaran bagi penjagaan kesihatan. Sukar untuk bergantung dengan bantuan kerajaan dan gaji pesaraan sahaja.
“Oleh itu, siapa yang akan menjaga kita apabila sudah tua. Kurang kelahiran, sedangkan kita semakin tua. Siapa yang akan jaga kita?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Hari Bidan Antarabangsa 2023 yang diadakan di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menyatakan bahawa faktor penurunan kadar kelahiran ini juga disebabkan oleh masyarakat yang bimbang akan peluang pekerjaan, perumahan dan kos pendidikan.
Katanya, oleh sebab itulah Kerajaan Sarawak kini menyediakan pendidikan percuma di universiti milik Kerajaan Sarawak.
“Untuk masalah perumahan pula Kerajaan Sarawak turut menyediakan banyak perumahan mampu milik di sini, kerana banyak perpindahan dari pedalaman ke bandar,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat