Oleh: Dilah Tuah
WILLIAM WORDSWORTH (1802) dalam bukunya yang berjudul ‘Lyrical Ballads: With Pastoral and Other Poems’ mentakrifkan puisi sebagai sebuah pengucapan yang imaginatif dan lahir daripada perasaan yang mendalam. Puisi juga merupakan ungkapan bahasa yang berperanan dalam menyampaikan sesuatu mesej melalui reaksi emosi atau sesuatu kata-kata yang sukar hendak dinyatakan. Justeru, atas faktor ini ramai yang terdorong untuk menghasilkan puisi, kesan daripada lonjakan emosi yang membuak. Pun begitu, dalam puisi, tidak semua reaksi emosi berupaya menyatukan kata-kata untuk menjadi sebuah puisi yang bermakna. Puisi menuntut pengisian batiniah yang dapat memberikan kesan estetika kepada khalayak pembaca.
Tidak dinafikan, emosi yang diadun bersama-sama dengan pengalaman dan pengamatan tajam penyair serta pemilihan diksi yang tepat berupaya melahirkan sebuah puisi yang indah dan menarik. Manakala keindahan puisi pula tidak hanya diukur pada bait-bait kata yang meruntun hati pembaca. Puisi harus padat serta berupaya menimbulkan kesatuan yang mantap dan berkesan. Dalam erti kata mudah, penyair sedaya upaya untuk tidak menjelaskan secara terperinci apa yang ingin diungkapkan dalam puisinya. Hal ini menyebabkan penyair perlu kreatif dalam memadankan simbol dan tanda, agar ia dapat menceritakan seribu makna yang tersirat. Selain itu, kepadatan puisi banyak bergantung kepada diksi yang dipilih oleh penyair. Penyair yang tekun dan cermat, akan sedaya upaya memahat kata (memilih diksi yang terbaik) untuk menjadi sebuah ukiran kata yang indah.
Dalam menghasilkan sesebuah puisi yang baik, pemilihan diksi yang tepat dan padat amat diperlukan. Selain bertujuan untuk memperindah puisi, diksi turut berperanan dalam menghubungkan penyair dengan khalayak pembaca. Bagaimana proses ini berlaku? Dalam puisi, diksi yang tepat dan padu, dapat memandu khalayak untuk mentafsir dan memahami idea, pemikiran, falsafah dan hasrat yang ingin disampaikan oleh penyair. Manakala diksi yang kabur serta tidak tersusun rapi, akan menyebabkan sesebuah puisi gagal untuk difahami dan diapresiasi. Bagi penyair baharu atau pemula, diksi merupakan pemilihan dan penyusunan kata-kata yang indah sehingga membawa pengertian yang mendalam dan tepat penggunaannya.
Menurut Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, dalam acara Memperkenalkan Sasterawan Negara yang berlangsung pada 26 November 2021 di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, beliau turut menekankan kepentingan aspek pemilihan diksi dalam karya sastera. Menurut beliau, pemilihan diksi dalam sesebuah karya sastera ialah modus utama dalam pengkaryaannya kerana kekuatan bahasa merupakan kekuatan utama bagi seseorang pengarang. Bahasa yang baik, berupaya memukau khalayak pembaca untuk menikmati karya-karya sastera yang dihasilkan.
Sehubungan itu, bertitik tolak daripada perbincangan di atas, ulasan puisi kali ini akan meninjau aspek diksi yang terbina dalam tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Puisi-puisi yang dimaksudkan ialah “Aku Tahu” karya Adhwa Mahyuddin Aldi, “Hamba Hanya Kita” karya Ramzi Junai dan “Sulaman Memorabilia yang Masih Belum Selesai” karya Ben Galayan. Walaupun fokus ulasan ini lebih menekankan aspek pemilihan diksi, namun aspek-aspek lain dalam puisi turut dibincangkan secara tidak langsung. Justeru, diharap ulasan ini dapat membantu para penyair muda dalam meningkatkan mutu pengkaryaan mereka dan seterusnya membina wilayah kepenyairan yang tersendiri pada masa akan datang.
Puisi pertama yang akan dikupas ialah “Aku Tahu” karya Adhwa Mahyuddin Aldi. Puisi ini tampil dalam enam rangkap yang panjang. Dari sudut pemilihan judul atau tajuk puisi, tampak tajuk yang dipilih agak klise serta tiada kelainan yang mampu memancing minat pembaca untuk menikmati puisi ini. Dari segi makna, puisi ini bercerita tentang diri penyair yang bergelut dengan keperitan hidup serta kerinduannya untuk mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapa. Hal ini dijelaskan oleh penyair dalam rangkap kedua, iaitu /Akan tetapi/ dalam keperitan hidup itu/ada kemanisannya. /ke manakah hilangnya kemanisan hidup itu?/ke mana perginya keindahan kehidupan itu?/yang mungkin tidak dapat dilihat oleh pancaindera/namun, dapat dirasakan oleh jiwa./
Dari segi bentuk, puisi ini polos dan prosaik. Bagi penyair muda, puisi yang polos bermaksud puisi yang kurang memasukkan unsur imejan dan bahasa figuratif sehingga puisi yang terhasil mirip seperti bahasa seharian. Manakala prosaik pula merujuk kepada puisi yang mendekati bahasa prosa. Perhatikan rangkap pertama, iaitu/Aku tahu, ibu/hidup ini perit/Aku mengerti, ayah/kehidupan ini ujian/penuh dengan pancaroba/ kelalaian/. Daripada enam baris yang pendek ini, tidak ditemukan diksi yang mampu menggambarkan perasaan penyair. Di sisi yang lain, kesemua situasi yang digambarkan oleh penyair dalam rangkap pertama, tidak mempunyai kelainan dalam membezakan antara ungkapan harian dengan ungkapan yang mampu mengocak jiwa khalayak. Selain itu, tiada pertautan kata dan makna dalam puisi ini. Hal ini disebabkan oleh emosi penyair yang membuak sehingga ia gagal menyusun puisi ini menjadi satu kesatuan pemikiran yang baik dan indah.
Mengapa hal ini berlaku? Pertama, diksi “keperitan hidup” yang menyelubungi kehidupan penyair pada rangkap kedua tidak bertautan dengan diksi ‘kemanisan’ pada rangkap ketiga. Persoalannya kini, bagaimana penyair mampu membeli kemanisan, sekiranya hidup dalam keperitan? Di sinilah dapat dilihat betapa pentingnya pemilihan diksi yang baik agar kata-kata yang disusun pada baris puisi tidak bertingkah antara satu sama lain. Pertingkahan diksi bukan sahaja melemahkan mutu puisi, namun pada masa yang sama menjejaskan nilai-nilai estetika yang sepatutnya mendukung kewujudan sesebuah puisi.
Selain itu, banyak pembaziran kata dalam puisi ini. Penyair didapati tidak cermat dan hemat dalam memilih diksi yang sesuai untuk disusun menjadi ungkapan yang indah dan bermakna. Penyair juga perlu mengelakkan penggunaan kata yang tidak sajak atau perkataan yang tidak memberi makna kepada puisi seperti kata ‘malangnya’ dalam rangkap keempat. Di samping itu, kebanyakan rangkap puisi ini ditulis menggunakan bahasa harian yang mudah diterka maknanya oleh pembaca. Misalnya pada rangkap kelima, iaitu /Wahai bonda tercinta,/wahai ayahanda perkasa,/dengarlah isi hati anakmu yang daif ini/yang hanya melihat dunia dengan sebelah mata./yang sedang mencari kebahagiaan dunia/. Walaupun percubaan ini kurang memberangsangkan, namun keberanian penyair dalam menyiarkan karyanya di akhbar wajar dipuji. Semoga keberanian ini dapat diselarikan dengan kekuatan dalam menghasilkan puisi yang lebih berimpak dan bermutu.
Puisi seterusnya berjudul “Hamba Hanya Kita” karya Ramzi Junai yang tampil dalam satu rangkap puisi yang panjang. Dari segi tema, puisi ini mengangkat citra ketuhanan yang dapat memberi pesan dan kesan kerohanian kepada pembaca. Hal ini dapat diperhatikan pada diksi yang dipilih oleh penyair seperti ‘redha-Nya’, ‘saf’, ‘doa’, ‘zikir’, ‘keampunan-Nya’, ‘tuhan’ dan sebagainya. Dari segi makna, puisi ini tentang muhasabah diri seorang hamba dalam mendekatkan dirinya kepada Pencipta. Perkara ini dapat diperhatikan pada baris pertama hingga baris kelima puisi ini, iaitu /Ketika manusia bersimpuh/di bawah redup redha-Nya/dinding serba putih dan suci/tiada beza raja atau rakyat biasa/duduk bersama membentuk saf/.
Dalam penghasilan puisi, penyair disarankan supaya mengelakkan penggunaan kata atau frasa yang klise. Antara contoh frasa klise dalam puisi ini ialah /percanggahan ideologi disimpan rapi/kerana hamba hanya kita/. Puisi yang baik perlu mengungkapkan sesuatu yang segar dan menarik, walaupun idea dan gagasan yang diperkatakan adalah sesuatu yang sama. Selain itu, tampak usaha penyair dalam mengaplikasikan inversi frasa dalam puisi ini iaitu bagi frasa /kerana hamba hanya kita/. Pun begitu, bentuk tersebut tidak tepat dan mengelirukan pembaca dan dicadangkan supaya frasa tersebut perlu digantikan dengan frasa “kerana kita hanya hamba”.
Membaca puisi ketuhanan akan mendorong pembaca untuk melakukan perubahan dalam diri. Pada peringkat awal puisi ini, penyair telah menanam nilai keinsafan dan kerendahan diri dalam puisinya. Kendatipun begitu, setelah semua kesedaran dan keinsafan ini disuntik oleh penyair ke dalam jiwa pembaca, mengapa perlu dipilih diksi yang bersifat kontradiksi atau bercanggah dengan keinginan penyair pada peringkat awal puisi ini. Kecuaian ini dapat diperhatikan pada baris ke-13 hingga baris ke-16 puisi ini iaitu /usai urusan bertemu tuhan/ lalu bertebaran meraih rezeki/ mengutip dosa kembali/ begitulah angkuhnya kita/.
Tidak dinafikan, dalam empat baris terakhir puisi ini, penyair sebenarnya ingin menyatakan sifat hamba yang lemah serta mudah ternoda oleh dosa. Namun begitu, bait-bait /usai urusan bertemu tuhan/ lalu bertebaran meraih rezeki/ tidak sesuai dipadankan dengan frasa /mengutip dosa kembali/. Hal ini dikatakan sedemikian kerana Islam mengajar umatnya untuk bersangka baik dalam setiap perkara dan keadaan. Justeru, puisi yang menganjurkan kepada kebaikan harus berakhir dengan kebaikan. Di sinilah peri pentingnya pemilihan diksi yang tepat dalam puisi agar apa yang ingin disampaikan oleh penyair dapat memberi kesan estetika serta menanjak perubahan diri para khalayak pembaca.
Puisi terakhir berjudul “Sulaman Memorabilia yang Masih Belum Selesai” hasil nukilan Ben Galayan, merupakan sebuah puisi buat sahabat penyair yang telah pergi selamanya. Dari segi makna, puisi ini mengisahkan tentang seorang sahabat yang sedang mendapat rawatan dan akhirnya dijemput ke negeri abadi pada bulan Ramadan. Dari segi bentuk, puisi ini tidak sukar untuk ditafsirkan kerana menggunakan bahasa yang mudah diterjah maknanya. Selain itu, tidak ditemui penggunaan diksi yang berbentuk bahasa figuratif yang menyukarkan khalayak untuk mentafsir makna puisi ini. Paling ketara, puisi ini didapati berkelintaran dalam ruangan peribadi penyair.
Hal ini dapat diperhatikan pada rangkap pertama, iaitu /Sinar terang lampu kuning menyapa/derap kaki para perawat terkawal rapat/nafas dihembus laju mengejar nadi bertamu/ubat dikekah kunyah memenggal rasa/jarum dipanah tajam menggali darah merah/sakit yang semalam masih terasa/dibuai lagi seksa mencengkam salur nyawa/diselubung kerubung pernafasan yang sedikit cuma/ sesak, penat, resah, menyala pada hamparan matamu kawan/. Walaupun begitu, penyair bijak menyusun kata dengan rima yang senada sehingga berjaya menimbulkan keindahan. Misalnya kata ‘perawat’ dan ‘rapat’; ‘laju’ dan ‘bertamu’; ‘seksa’ dan ‘nyawa’; ‘selubung’ dan ‘kerubung’ serta ‘hamparan’ dan ‘kawan’.
Pada rangkap kedua, terdapat diksi yang kurang sesuai, iaitu /engkau ketawa tetapi wajah hanya muram belaka/. Persoalannya kini, pada wajah yang muram, adakah mampu untuk membina sebuah ketawa? Hal inilah yang sering kali mengelirukan pembaca kerana penyair harus bijak memilih diksi yang sesuai agar apa yang disampaikan tidak menyimpang pada pemahaman pembaca. Di samping itu, untuk berkalung lama di bingkai zaman, sesebuah puisi harus berupaya membicarakan masa lalu, masa kini dan masa depan dalam bahasa puitis yang indah dan malar segar.
Selain itu, rangkap ketiga puisi ini agak polos dan prosaik. Penyair didapati kurang kemas dalam memilih diksi terbaik dalam susunan terbaik. Implikasinya, puisi terlalu sarat dengan penjelasan makna, sedangkan bentuk puisi yang baik menuntut pemadatan kata dalam raungan yang terbatas. Hal ini dapat diperhatikan pada baris /Ramadan mulia mengiringi titisan air mata mengapa terlalu cepat engkau merasa penat/ mengapa tidak mampu bertahan lebih lama lagi kawan/jemari terlentang matamu tidak memandang/ pada kami yang memanggil ulang namamu/. Oleh itu, baris ini perlu disaring dan dimurnikan, agar diksi yang dipilih tidak mengarah kepada puisi prosa. Di sisi yang lain, penyair juga disarankan untuk mengetengahkan diksi-diksi yang jarang didengar dan digunakan oleh penyair lain. Tujuannya adalah untuk menjadikan sesebuah puisi itu unik dan istimewa kepada khalayak pembaca.
Berpandukan ulasan ketiga-tiga buah puisi di atas, dapat dirumuskan bahawa terdapat segelintir daripada penyair muda yang masih belum cermat dalam memilih diksi yang sesuai. Selain itu, belum ditemui juga puisi yang benar-benar memanfaatkan bahasa konotasi sehingga puisi yang terhasil bersifat tersembunyi, mendalam, kaya, jauh dan luas pengertiannya. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Puisi-puisi yang dihasilkan dinyatakan secara terus terang tanpa memikirkan nilai estetika yang perlu ada dalam sesebuah puisi. Di samping itu, penggunaan gaya bahasa seperti metafora, hiperbola, simile, personifikasi, ironi dan sebagainya tidak dimanfaatkan oleh para penyair. Penggunaan unsur-unsur gaya bahasa ini penting dalam menimbulkan imej atau kesan gambaran bagi sesebuah puisi.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga puisi di atas mempunyai sisi kekuatan dan kelemahan yang dapat ditambah baik dan diperbaiki. Percayalah, dalam merintis perjalanan sebagai seorang penyair, permulaan kecil di ruangan ini mampu menanjak mutu kepengarangan yang lebih unggul. Selain itu, kritikan dan ulasan yang disiarkan di ruangan ini, bukan bertujuan untuk melemahkan atau meremehkan karya seseorang penulis. Ulasan ini bersifat subjektif dan bermatlamat sebagai wadah bimbingan kepada penyair-penyair muda yang berbakat besar. Semoga ulasan ringkas ini dapat membantu penyair baharu, dalam meningkatkan mutu penghasilan puisi pada masa akan datang. Teruskan berkarya!