Oleh: Awang Alfizan
TATKALA gema azan maghrib melingkar lalu mencelah ruang udara dalam ketenangan senja yang syahdu, aku membengkokkan kedua-dua belah lutut secara perlahan-lahan, melonjak-lonjakkan tubuh lantas melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang usang itu. Telapak kaki yang sentiasa lenguh itu juga aku usap lembut untuk melegakan sakit sebelum mengisi perut.
Sebiji buah tamar aku jamah sedikit demi sedikit setelah selesai menadah tangan membaca doa berbuka puasa. Juadah hari ini sangat melimpah. Ada ayam masak kicap, sayur pucuk ubi dan kuih seri muka. Semuanya disedekahkan oleh warga kampung yang prihatin dengan kondisi hidupku. Namun, santapan ini sentiasa terasa kosong seperti hari-hari sebelumya. Tawar rasanya. Tiada peneman makan pada senja itu.
“Abang makanlah ni, Tom masak tadi. Sedap.”
“Ni ayam pansuh kegemaran abang. Tambahlah lagi.”
Aku rindu kata-kata itu. Rindu masakannya. Rindu akan kehadiran belahan jantungku. Isteriku, Tom.
Malam lebaran ini aku tidak bisa pergi ke surau. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Aku pasti akan bergegas ke surau yang terletak jauh dari rumahku untuk melaungkan takbir raya bersama jemaah yang lain. Kemeriahan takbir sangat aku rindui. Walaubagaimanapun, kali ini aku hanya mampu duduk di rumah berseorangan. Faktor usia membatasi kudratku untuk beribadah di sana.
“Aduh.”
Lutut tua yang sudah goyah umpama engsel karat rapuh itu aku usap perlahan-lahan. Dari paha hingga ke betis dipicit menggunakan minyak gamat. Maklumlah, Tom sudah tiada untuk mengurut kakiku setiap kali aku mengadu kesakitan. Pedihnya mengalir melalui urat sarafku sehingga mencucuk-cucuk tubuh. Hidupku sukar tanpamu, Tom.
Longgokan warkah di dalam peti surat menarik perhatianku. Terdapat banyak risalah tentang rumah orang tua yang dititipkan. Mesti anak-anakku yang mengutuskannya kepadaku. Segala tawaran dan program yang menarik di pusat orang tua itu tidak langsung mengubah keputusanku untuk tetap tinggal di teratak usangku ini.
‘Aku tidak peduli. Ini rumahku bersama Tom.’
‘Aku tidak akan pergi. Titik.’ Hatiku sudah berkata muktamad.
Entah mengapa anak-anakku yang berada di kota ingin sekali melihatku berpindah ke sana. Aku tidak pernah menyusahkan mereka. Wang yang mereka kirimkan setiap bulan ke dalam akaun bankku tidak pernah aku menggunakannya meskipun satu sen. Aku mampu menyara hidupku dengan gaji pencen yang tidak seberapa. Nilai yang tidak banyak, tetapi cukup untuk menghidupkan orang tua yang dilupakan oleh anak-anaknya ini.
Risalah itu aku campakkan di tepi meja tanpa memikirkannya lagi. Aku bukan ego. Namun, kehilangan seseorang mengajarku untuk menghargai apa yang masih tinggal di sisi. Bukan kerana harta ataupun takut sebidang tanahku ini terbiar begitu sahaja. Aku hanya ingin mempertahankan sesuatu yang masih tersisa.
“Abang, tolong ambilkan Tom mangkuk tingkat di atas rak tu. Tinggi sangatla.”
Setiap kali malam raya, arwah Tom pasti akan meminta bantuanku untuk mengambil mangkuk tingkat yang tersusun rapi di atas rak kayu itu. Ketinggian Tom yang hanya separas bahuku tidak mampu untuk menggapainya. Meskipun bertubuh kecil, Tom lincah bekerja orangnya.
Mangkuk tingkat putih yang bercorak bunga anggerik itu akan diisi dengan juadah raya sebagai bekal untukku. Maklumlah, bekerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa bertugas kendatipun di pagi lebaran. Namun, aku tetap bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawabku kerana bekal mangkuk tingkat yang dibuat oleh isteri kesayanganku ini membuatku tersenyum bahagia sepanjang hari.
Tingkat pertama akan diisi dengan rendang daging yang dimasak oleh Tom sehingga menjelang pagi. Kelembutan dan keempukan daging masih terasa pada lidahku walaupun sudah bertahun aku tidak menikmatinya. Tingkat kedua pula diletakkan dengan beberapa potong ketupat yang dianyamnya dua hari sebelum Aidilfitri. Tidak lupa juga dengan biskut semperit kegemaranku yang ditaruh di dalam tingkat ketiga, tingkat yang paling atas.
Sesudah itu, arwah Tom dulu akan meletakkan mangkuk tingkat itu di atas para yang berdekatan dengan jendela agar mudah aku mengambilnya sebelum berangkat kerja. Dibungkus pula dengan sehelai kain batik supaya tidak tertumpah ketika dipegang nanti.
Paginya, kami akan saling berpelukkan dan bersalaman seperti tradisi pagi raya secara umumnya. Mangkuk tingkat lebaran itu akan dihulurkan oleh Tom untukku dengan senyumannya yang paling indah. Masih terbayang dalam memorabiliaku busana Tom pada pagi itu. Berbaju kurung bercorak batik dan bertudung anggun dengan selendang putih suci. Menawan hingga memikat hati. Teringat saat pertama kali kami saling jatuh hati.
Bahagia tidak selalunya gembira.
Akan ada duka yang menggores luka.
Tom, bidadariku pergi dijemput Ilahi pada malam lebaran. Peristiwa tragis yang menghantui diriku sehingga ke saat ini. Kehidupanku berubah seratus peratus setelah pemergiannya. Menyiksa batin, mendera jiwa.
Pernah pada suatu siang lebaran, aku menyedari ada sekeping sampul surat yang terselit dalam mangkuk tingkat. Setelah dibuka, di dalamnya terdapat sekeping wang yang bernilai 50 ringgit. Tercoret pesanan pada sampul untuk aku membeli baju seragam yang baharu menggunakan wang itu. Tom menyedari baju seragam pengawalku yang kelihatan lusuh dan sudah terkoyak sedikit di bahagian kolar. Mesti Tom bersusah payah mengumpul wang dengan mengambil upah memarut kelapa jiran. Terima kasih, Tom. Abang terharu.
“Anak-anak abah tak pulang malam raya ni?”
“Mak kalian sedang sakit sekarang,” ujarku dalam panggilan telefon.
“Adik sibuklah abah.Tak dapat balik raya kali ni. Suruh mak makan ubat nanti sembuhlah,” balas anak bongsuku.
“Ni mesti mak pura-pura sakit supaya kami balik kampung. Abang tahun ni sambut raya di bandar saja. Di rumah mentua. Raya kelima nanti baru kami pulang ke sana. Itu pun kalau ada cuti lebih,” kata anak sulungku.
Mereka menyangka bahawa omonganku ini hanya sekadar candaan dan alasan untuk mereka terpaksa pulang ke kampung halaman pada malam raya itu. Betapa pilunya atma seorang ayah tatkala anak-anaknya tidak memperdulikan kondisi kami berdua di sini. Sakit, pingsan ataupun mati, mereka pasti tidak menghiraukan sama sekali.
“Anak…. Anakku. Pu… pulanglah nak.”
Keadaan Tom semakin merisaukan. Tubuh bergetar menahan kedinginan meskipun suhu melonjak kepanasan. Bibirnya terkumat-kamit menyeru kepulangan anak-anak yang pernah dikandung dalam rahimnya selama sembilan bulan pada suatu ketika dahulu. Matanya terpejam rapat tetapi masih mampu mengalirkan tangis kerinduan yang tiada kepalang.
Aku mesti berbuat sesuatu dengan segera.
Angin kuat dan hujan lebat tidak henti-henti membasahi bumi. Ribut menggila mendebarkan suasana. Pawana yang ganas membuatkan dedaun dan dahan pohon rambutan di hadapan rumahku melambai-lambai tidak tentu arah. Petir saling sambar-menyambar membelah langit malam.
Aku terpaksa bertindak dengan sendirinya. Tiada orang yang bisa membantuku pada saat itu. Kediamanku jauh dari pemukiman warga desa. Sungguh mustahil untukku meminta bantuan daripada mereka dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan ini.
“Maafkan abang, Tom.”
Aku mengendong tubuh kecil Tom lalu meletakkannya di atas kereta sorong. Aku tiada pilihan lain. Aku tidak mempunyai sebarang kenderaan untuk membawanya ke hospital. Hanya kereta sorong lama yang sering digunakan ketika berkebun ini aku mampu gunakan untuk ke pekan sekarang. Beberapa helai daun pisang menutupi tubuh Tom agar dia tidak terkena hujan yang mencurah. Aku pun bergegas menyorong kereta sorong itu dengan mengharungi ribut yang lebat melanda.
Lebatnya bukan biasa-biasa. Ditambah lagi dengan suara kilat yang cuba menggoyahkan kekuatanku pada malam itu. Segala gentar dan lemah aku tepiskan sejauh mungkin. Lenyap dalam kamus ingatanku. Ada misi yang perlu akan laksanakan dengan segera. Nyawa Tom menjadi taruhannya.
“Sikit lagi Tom. Bertahanlah,” kataku sambil bertungkus-lumus menyorongnya melalui jalan yang becak berlumpur.
Tuah tidak menyebelahi kami. Roda kereta sorong tersangkut pada lopak air yang dalam. Aku berusaha menolaknya dengan kudrat yang tersisa meskipun tulang belakangku sudah berdenyut-denyut lenguh kesakitan.
“Satu… dua… tiga… tolak!”
“Tolak!” Aku menggunakan segala tenaga yang ada untuk menolaknya.
“Cukup bang. Cukup.” Tangan Tom yang terkulai lemah mengengam tanganku yang sudah lelah tidak terdaya.
Tom membelai wajahku. Kesan lumpur yang tercalit pada pipiku dibersihkannya menggunakan hujung lengan baju kurungnya.
“Tom pergi dulu ya bang. Jumpa di sana nanti. Tom tunggu abang.”
Kata-katanya membuatku tergamam seketika. Aku tidak mahu kehilangannya. Hidup tanpa Tom ibarat diriku sudah tidak bermakna lagi di muka bumi ini. Aku merangkul jasadnya yang nazak itu lalu memeluknya seerat mungkin.
“Jangan cakap macamtu Tom. Jangan pergi dulu!” Aku cuba untuk menolak kereta sorong itu lagi dan lagi tetapi hasilnya tetap nihil. Aku tidak mahu menerima kenyataan itu. Aku mesti berusaha sehabisnya.
“Se… selamat hari ra… raya, abang. Maaf lepas ni dah tiada bekal mangkuk tingkat lagi.” Ucapan terakhir Tom kepadaku sebelum matanya tertutup untuk selamanya. Tangannya sempat mengelus wajahku sebelum terjatuh tidak bermaya. Degupan jantungnya juga sudah berhenti berdetak.
“Tom jangan tinggalkan aku! Maafkan abang, Tom.” Aku menangis semahu-mahunya di bawah hujan yang renyai-renyai.
Alam seperti memahami perasaanku pada saat itu. Menitis menjadi rintihan yang tidak terubat. Aku lemah tidak mampu berbuat apa-apa. Duniaku sudah pergi jauh dari tatapanku.
‘Pulanglah Tom. Aku merayu,’ permintaan dari benak kalbu yang tidak terdengar.
Sepanjang proses pengembumian jasad Tom, aku hanya terdiam membisu. Puas sudah orang-orang kampung dan anak-anakku memujukku untuk berbicara, tetapi aku tetap merenung kosong. Tidak marah dan tidak juga berang. Jauh sekali dari makna merajuk.
Selesai solat sunat Aidilfitri berjemaah di surau, warga kampung membantuku menguruskan segalanya. Aku masih tidak menyangka bahawa Tom sudah tiada. Anak-anak cuba menenangkanku agar menerima kenyataan. Jika diikutkan hatiku yang panas baran, aku akan menyalahkan anak-anakku atas kematian isteriku. Disebabkan oleh perangai mereka yang derhaka, Tom menjadi mangsa.
Namun, benci kesumat itu aku hapuskan sejauhkan mungkin. Tom pernah berkata, semua ini bukan salah anak-anak. Kami sebagai orang tua yang mungkin gagal mendidik mereka untuk berbudi. Jadi, maafkan mereka jika berbuat silap. Doakan mereka agar berubah dan mengenang kembali jasa kami berdua dalam membesarkan mereka.
Kelopak puspita aku taburkan di atas pusaranya sebelum beredar pulang meninggalkannya bersendirian terkubur di dalam tanah merah itu. Pertama kali dalam kisah cintaku aku merasakan patah hati. Patah sayap seorang bidadari untuk kembali lagi ke pangkuanku. Tiada apa-apa uslub yang mampu aku laksanakan. Hanya surah Al-Fatihah yang tidak henti-henti aku sedekahkan untuk arwah tenang di alam sana.
“Siapa nak jaga abah lepas ni? Adik sibuklah dengan kerja.”
“Abang pun tak boleh nak jaga abah. Bini abang tak nak jaga.” Anak-anakku saling berbalah untuk melepaskan tanggungjawab dalam merawatku, si orang tua yang menyusahkan.
Tiada tercalit sedikit pun dalam diri mereka rasa tanggungjawab untuk menjagaku. Pengorbananku mengasuh mereka sejak kecil lagi langsung tidak dikenang. Seakan-akan aku ini seperti binatang peliharaan yang membebankan dan harus dibiarkan. Di mana letaknya darjat seorang ayah dalam diri mereka?
“Sudahlah! Berhenti bertengkar!” Aku sudah muak dengan pertelingkahan anak-anakku. Jika ini merupakan perebutan harta dan tanah, pasti mereka berebut mendapatkan warisan. Mungkin aku juga perlu menyusul Tom ke sana, baru mereka boleh hidup senang tanpa bebanan.
Aku mengambil keputusan untuk tetap menetap di teratak tuaku ini. Rumah yang telah dibina dengan hasil titik peluh kami suami isteri. Meskipun hanya diperbuat daripada kayu, rumah ini terasa mahligai bagi kami berdua. Di sinilah kami bersama-sama membesarkan cahaya mata sehingga menjadi insan berjaya. Di sini juga menjadi saksi perjuangan cinta tulus kami.
Namun, semuanya berubah setelah aku memikirkannya lagi.
Aku sudah kehilangan segalanya. Tom sudah tiada. Kasih sayang daripada anak-anakku terasa sepi. Semuanya tidak tersisa. Mungkin jika aku pergi, anak-anakku bisa menjual tanah rumah ini untuk warisan mereka. Itu yang mereka inginkan. Lagi bernilai dari diriku, abah mereka.
Risalah itu aku belek-belek lagi. Mungkin ini yang terbaik untukku dan ini yang diinginkan oleh Tom. Jiwaku sudah membuat kata muktamad. Aku akan laksanakannya.
“Baiklah.”
Takbir raya berkumandang syahdu pada pagi cerah itu. Dua buah bagasiku sudah berada di anjung rumah. Tinggal menanti sebuah kereta tiba untuk menjemputku. Aku berdiri di perkarangan rumah sambil memejamkan mata. Membayangkan segala memori indah ketika zaman dahulu. Semasa anak-anakku masih kecil sedang seronok menanti hari lebaran. Debarannya sungguh terasa. Mereka berbaju Melayu lengkap bersampin. Bermain bunga api menambahkan lagi seri Aidilfitri. Tom pula kelihatan sibuk menyiapkan juadah. Manis sekali kenangan itu.
Kepulan bayangan itu terus terhapus diganggu bunyi hon.
Sebuah kereta putih terpakir betul-betul di hadapan rumahku. Dua orang pekerja dari rumah orang tua datang membantuku berkemas untuk berpindah ke sana. Ya, inilah keputusanku. Aku sudah tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi, terutamanya anak-anakku.
Sebelum melangkah pergi, aku menolehkan pandanganku ke arah jendela rumah. Kelihatan bayangan Tom yang berbusana anggun sedang tersenyum ke arahku sambil memegang mangkuk tingkat lebaran itu.
“Selamat Hari Raya, Tom.” Aku membalas senyuman itu lalu melambaikan tangan sebagai tanda perpisahan.