Kraf tangan rotan Punan merupakan produk tradisional yang berpotensi besar dikomersialkan di peringkat antarabangsa.
Jika pelancong dari luar negara lebih-lebih lagi dari Eropah yang datang ke Malaysia, kraf tangan rotan menjadi kegemaran dan sering dibeli sebagai tanda kenangan apabila pulang ke nagara asal.
Hal ini kerana, ia bukan sahaja mewakili budaya dan tradisi yang unik tetapi secara tidak langsung menampilkan kemahiran dan kreativiti masyarakat Punan membuat anyaman.
Menurut Maren Uma (Tuai Rumah) penempatan masyarakat Punan di Long Lidem, Ulu Sungai Linau Belaga iaitu Narau Pua, 77, semakin kreatif dan rumit anyaman rotan, maka harganya semakin meningkat serta menjadi rebutan ramai.
“Corak yang selalu kami gunakan untuk membuat anyaman adalah diilhamkan daripada persekitaran seperti bentuk binatang dan tumbuh-tumbuhan.
“Contohnya corak bunga kelilang. Semuanya dianyam mengikut kreativiti masing-masing, tidak guna mimpi dan dianyam menggunakan tangan tanpa bantuan mesin. Hanya guna alatan tradisional,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Sementara itu, Sakung iaitu salah seorang penduduk di situ berkata, kraf tangan rotan yang dihasilkan masyarakat Punan mempunyai banyak kelebihan.
Antaranya kelebihannya ialah ringan, tahan lama, warna tidak mudah luntur dan anyaman kemas menyebabkan ia bermutu tinggi dan bernilai.
Bercerita mengenai proses pembuatannya, Sakung memberitahu, banyak proses yang perlu dilakukan dan setiap proses dilakukan secara berhati-hati.
“Buat ini sangat susah dan perlu teliti. Mula-mula perlu cari rotan di hutan, kemudian belah buka kulit dan potong dulu sebelum dijemur bawah panas sampai kering. Perlu tunggu dua sehingga tiga hari untuk kering jika tidak hujan.
“Sudah kering, baru dapat dibelah menjadi lebih kecil dan halus. Selepas itu, raut empat kali, kami panggil ‘katom’ supaya bahagian tepi tidak tajam.
“Langkah seterusnya, rebus satu hari guna dapur kayu. Semasa rotan direbus, air mesti penuh dan api mesti besar, jika kecil tidak menjadi. Kita tidak dapat guna dapur gas kerana tidak cukup. Boleh habis satu tong gas.
“Selepas direbus, barulah cuci guna air pada waktu pagi dan jemur sampai kering,” jelasnya.
Selain itu, kata Sakung, jika terdapat permintaan anyaman yang memerlukan rotan berwarna, banyak cara tradisional untuk menghasilkan warna yang tidak mudah pudar.
“Rotan digosok guna daun kayu ‘gamai’ atau tanah liat hitam, tetapi tidak boleh tanah sembarangan. Pilih tanah yang tidak ada pasir dan bersih di tepi sungai.
“Jika mahu hasilkan warna kuning, rendam rotan guna akar tumbuhan, nama akar itu ‘okanyahang’,” katanya.
Menariknya, menurut Sakung, jika rotan berwarna merah, ia adalah warna asli rotan liar.
“Kalau rotan warna merah, memang tidak dibubuh perwarna. Rotan warna ini paling susah dicari, perlu naik atas bukit,” tambahnya.
Oleh SYAHIDA HASSAN