KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu meneliti parameter dan perundangan bagi perdagangan karbon dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Katanya beliau telah bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, mengenai perkara tersebut yang turut dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet Negeri awal hari ini.
“Saya mencadangkan kepada beliau (Fadillah) karbon adalah komoditi, yang telah ditakrifkan demikian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam konteks ini, karbon sepatutnya menjadi komoditi di bawah kementerian Fadillah.
“Jika ini boleh dilakukan, bermakna perdagangan karbon boleh dilakukan. Kami (Sarawak) adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempelopori perdagangan karbon. Parameter dan perundangan mesti ada untuk kita memperdagangkan karbon, yang kita di Sarawak mula lakukan.
“Saya harap di peringkat Persekutuan, mereka juga mempunyai perundangan mengenai perdagangan karbon,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidifiltri Ramah Tamah Jabatan Premier Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya di sini pada Khamis.
Abang Johari berkata Sarawak adalah pemain antarabangsa kerana perdagangan karbon dijalankan di peringkat antarabangsa.
“Malaysia mesti mempunyai kedudukannya dalam protokol perdagangan karbon antarabangsa, kerana kita hanyalah sebuah negeri konstituen di Malaysia.
“Mereka mesti mempunyai penglibatan dengan pemain dunia dan semua komoditi berada di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Kementerian ini bertanggungjawab ke atas tenaga, sumber asli, alam sekitar, perubahan iklim, tanah, lombong, mineral, geosains, biodiversiti, hidupan liar, taman negara, perhutanan, ukur, pemetaan dan data geospatial,” jelasnya.
Abang Johari menegaskan bahawa mengikut takrifan PBB bahawa karbon adalah komoditi.
“Sebab itu saya mencadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri (Fadillah) untuk membawa perkara ini dalam Kabinet Persekutuan.
“Karbon kini berada di bawah kementerian tenaga (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) tetapi yang lebih penting, PBB telah memutuskan karbon adalah komoditi, jadi kita ikut.”
Sebelum ini, Abang Johari berkata kredit karbon akan menyediakan Sarawak sumber pendapatan baharu antara RM315 juta hingga RM1.039 bilion setahun.
“Ini kerana negeri ini berpotensi mencipta penyerap karbon daripada hutan kekalnya, menggalakkan penyerapan karbon, dan menjalankan skim penanaman pokok untuk kredit karbon,” ujarnya.
Oleh Azreen Keria