JBALB perlu komited untuk menoktahkan masalah ketiadaan bekalan air dihadapi penduduk di kawasan sekitar lebih-lebih lagi ketika Aidilfitri dan menjelang sambutan Gawai Dayak tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas
Mohammad Razi Sitam
SABAN tahun pada musim perayaan seperti Hari Raya, akan kedengaran keluhan dan aduan orang ramai mengenai gangguan bekalan air, elektrik atau masalah internet, yang masih terkapai-kapai terutama di luar bandar dan pedalaman. Ini berlaku bukan saja pada musim Aidilfitri, malah sewaktu perayaan Hari Gawai.
Masalah tiga kemudahan asas penting inilah kerap menghantui serta meresahkan rakyat marhaen dari semasa ke semasa dan amat menyedihkan apabila ia berlaku ketika ramai balik kampung pada musim perayaan.
Bab guna feri lagi satu hal. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa cuma sejam, boleh menjangkau hingga lima, enam jam perjalanan kerana kereta tersekat berbaris menunggu giliran masuk feri. Contohnya dari Sibu ke kawasan Daerah Daro dan Matu.
Bagaimanapun, kisah ini bakal berlalu kerana sudah nampak sinar di hujung terowong apabila kita dijanjikan tiada lagi penggunaan feri menjelang 2025 kerana semua lapan atau sembilan projek jambatan utama menyeberangi sungai dijangka siap sepenuhnya. Namun, dua tiga projek jambatan yang sepatutnya siap tahun lalu dan tahun ini terpaksa disambung oleh kontraktor baharu kerana kontraktor lama gagal menyiapkannya, sekali gus menjadi projek bermasalah.
Contohnya ialah projek Jambatan Rambungan berharga RM98.5 juta di Lundu, kini bermasalah dan khidmat kontraktornya akan ditamatkan. Turut bermasalah ialah pembinaan Jambatan Sungai Limbang menelan kos RM187 juta yang berdepan kelewatan 32 peratus. Diharapkan masalah ini tidak berlarutan hingga rakyat masih terus menggunakan feri menjangkau 2026.
Kisah bekalan air pula ialah pada pagi Aidilfitri Sabtu lalu apabila beberapa kampung di kawasan Pulau Bruit seperti Kampung Tekajong dan Kampung Bruit dilaporkan tiada bekalan air. Begitu juga dikatakan berlaku di Daro. Di beberapa kampung di Matu pula, air bagaikan ‘menitis seperti air mata’ pada paip air di pagi raya. Ada yang mengadu warna air macam kopi susu.
Ada kampung terputus bekalan air pada hari kedua dan ketiga Aidilfitri. “Kesian tengok orang tinggal di ‘home stay’, paip kering tiada air. Setitis air tak keluar walaupun menggunakan pam. Nasib baik ada hujan pada hari ketiga raya,” kata seorang penduduk di Pulau Bruit.
Seorang penduduk di Kampung Tekajong mendakwa, ramai juga penduduk terpaksa balik pada hari kedua raya sebab tiada bekalan air.
NOKTAHKAN MASALAH GANGGUAN BEKALAN AIR
Bayangkan situasi ketika orang ramai mahu mandi, ambil air wuduk dan bersiap untuk solat sunat Aidilfitri. Ini kerana tiada notis awal menyebabkan sesetengahnya tidak sempat membuat simpanan air.
Mungkin ada lagi lokasi lain di negeri ini berdepan masalah serupa. Mungkin juga kerana ramai pengguna menyebabkan tekanan air rendah. Hanya agensi yang dipertanggungjawab mungkin tahu hal ini.
Malah ketika Ramadan baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam awal-awal lagi sudah menyuarakan kebimbangan dan merayu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong untuk memastikan sejarah gangguan bekalan air pada musim perayaan tidak berulang tahun ini.
Menurut Mohammad Razi, JBALB perlu komited untuk menoktahkan masalah ketiadaan bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan sekitar lebih-lebih lagi ketika Aidilfitri dan menjelang sambutan Gawai Dayak tidak lama lagi.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, gangguan bekalan air sering berlaku di kawasan sekitar Debak, Pusa dan Spaoh menyebabkan penduduk kampung dan rumah panjang merungut ekoran berdepan kesukaran dalam menyediakan keperluan untuk sambutan perayaan.
“Penyelesaian isu ini harus diberikan keutamaan oleh JBALB kerana ia menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat. Justeru, JBALB perlu memastikan tiada masalah bekalan air sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan terhadap perkara berkenaan selepas akhir-akhir ini bekalan air sering terputus sehingga menyebabkan kegusaran bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi wakil rakyat. Beliau menyarankan JBALB mencari alternatif terbaik sekiranya berlaku gangguan yang tidak dapat dielakkan.
“Kadang-kadang sedih melihat penduduk terpaksa bersengkang mata menadah air pada tengah malam. Pada musim raya, penggunaan bekalan air meningkat berlipat kali ganda. Masa raya yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan, sebaliknya digunakan untuk mengangkut dan mendapatkan air… saya merayu noktahkanlah perkara tersebut.
“Kalau ada gangguan, selesaikan dengan kadar segera,” katanya.
GANGGUAN INTERNET
Begitu juga masalah internet bagaikan iklan coklat – ‘kejap ada, kejap tiada’. Sebab itu kita hampir tidak percaya apabila diumumkan, 80 atau 90 peratus kawasan diliputi 4G dan 5G pula akan membawa ‘keceriaan’ pada tempoh ini dan itu. Bila kita pergi ke kampung luar bandar, tiada liputan internet dan jika ada sekalipun, capaiannya tersekat-sekat macam siput. Yang OK sedikit ialah guna aplikasi What’s App, tetapi bila nak muat turun video, youtube, laman web atau facebook, berpusing-pusinglah macam gasing pada skrin telefon bimbit kita.
Contohnya di Daerah Lawas, capaian internet dilaporkan semakin teruk menjelang Aidilfitri minggu lalu. Semua ini menyebabkan kita terasa, apakah hanya orang bandar menikmati segala nikmat kemajuan sejak negara merdeka? Saban tahun sejak dahulu-kala lagi kita dengar kenyataan Pak Menteri – ‘kita akan terus beri keutamaan untuk pembangunan luar bandar’. ‘Berjuta-juta ringgit akan dicurah demi kemajuan dan kepentingan penduduk luar bandar.’
Kita akui dan memang tidak dinafikan, ada kemajuan, ada projek pembangunan, ada perubahan. Namun, kemudahan asas perlu dipertingkatkan lagi seperti bekalan air dan elektrik selain internet. Pastikan tiada gangguan bekalan terutama pada musim perayaan, malah waktu biasa hari-hari sekalipun. Inilah dinamakan kemerdekaan.
Begitu juga dengan masalah bekalan elektrik dan Mohammad Razi sekali lagi mengharapkan perkara sama diambil perhatian oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya bekalan elektrik sentiasa ada.
Masalah internet juga sering menghantui penduduk luar bandar, satu kemudahan yang amat penting pada zaman sekarang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi kelmarin menyatakan sebanyak 70 menara telekomunikasi SMART menggunakan teknologi perkongsian pemancar Multi Operator Core Network (MOCN) telah beroperasi pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Katanya, proses pembinaan dan pemasangan menara dan peralatan telekomunikasi itu dijalankan secara berterusan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC). Menara itu turut menyediakan perkhidmatan rangkaian seperti Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.
“Kita menjangkakan sebanyak 55 menara lagi akan beroperasi menjelang Hari Gawai. Proses ini adalah berlanjutan dan SDEC sekarang memasang peralatan telekomunikasi di semua menara yang telah dibina dan sedang dibina,” katanya.
Kita berharap usaha itu akan memperbaiki kelemahan capaian internet selepas ini.
Kita juga berharap tiada lagi gangguan bekalan air dan elektrik selepas ini apatah lagi menjelang sambutan kemerdekaan Sarawak yang ke-60.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.