KUCHING: Hari Bung Bratak bakal kembali pada 1 Mei ini selepas tiga tahun menyepi akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA) Dato Peter Minos berkata acara berkenaan bakal dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Kami di Bung Bratak amat teruja dan gembira menerima khabar yang beliau akan hadir yang secara langsung menunjukkan sokongan kementeriannya kepada penganjuran Hari Bung Bratak pada 1 Mei ini.
“Hari Bung Bratak merupakan sambutan tahunan yang tersenarai pada Kalender Pelancongan tahunan kementerian,”katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Jelas Peter, beliau menjangkakan kehadiran para pelancong asing akan ramai seperti sebelum ini.
“Musik, pakaian dan tarian tradisional Bidayuh akan dipersembahkan dengan penuh glamor pada hari tersebut.
“Malah rombongan kebudayaan dari daerah Bau, Lundu, Kuching dan Serian bakal memeriahkan sambutan dengan musik dan gaya tersendiri dan ia akan kelihatan berwarna warni dan indah.”
Dalam pada itu, turut diadakan festival makanan Bidayuh, pameran pakaian tradisional Bidayuh termasuklah artifak dan kraf.
Tiada sebarang bayaran kemasukan dikenakan pada hari tersebut dan pengangkutan untuk naik ke kawasan bukit turut disediakan.
Tambah Peter, mereka yang berminat untuk mendaki sendiri Bung Bratak, dialu-alukan, anda akan menikmati hari cuti ini yang juga merupakan Hari Pekerja.
“Hari Bung Bratak memiliki keunikan tersendiri susulan ia diianjurkan di puncak Bung Bratak, ia merupakan penempatan awal bersejarah masyarakat Bidayuh ratusan tahun dahulu.
Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC) dilengkapi dua rumah panjang dan baruk dengan pemandangan alam semula jadi yang masih dikekalkan sehingga kini.
“Pada 2018, seorang pelancong asing dari Belanda pernah berkata anda tidak akan mampu menjumpai festival kebudayaan lain yang lebih eksotik daripada Hari Bung Bratak, di lokasi bersejarah yang eksotik,”ujarnya.
Oleh Azreen Keria