KUALA LUMPUR: Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat kejuruteraan dan penyelenggaraan Capital A Bhd telah memperoleh pelaburan berjumlah AS$100 juta (AS$1=RM4.460) daripada OCP Asia Ltd untuk membina dan mengendalikan 14 barisan kemudahan hangar penyelenggaraan pesawat yang canggih di Sepang, Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata pelaburan itu juga akan diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan ADE selanjutnya dalam pasaran lain.
Beliau berkata fasa pertama hangar penyelenggaraan itu akan siap pada suku kedua 2024 dan fasa kedua akan siap menjelang suku ketiga 2024.
“Daripada segi saiz, 14 barisan bermakna 14 pesawat boleh dibaiki pada satu-satu masa dan kami sedang mengkaji untuk meningkatkan kepada 20 barisan dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara ADE dan OCP Asia di sini, hari ini.
Turut hadir menyaksikan pemeteraian perjajinan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Fernandes berkata beliau menjangkakan ADE menyumbang keuntungan antara 30 dan 40 peratus kepada Capital A dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
“Pelaburan berjumlah AS$100 juta akan memberi kami keupayaan untuk berkembang menjadi 20 barisan dan kami akan menyediakan perkhidmatan daripada kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, pelaburan daripada OCP Asia juga akan membolehkan penambahbaikan kepada kemudahan sedia ada di hab operasi teras AirAsia, menjadikan ADE sebagai salah satu penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat terbesar di rantau ini.
“Kami melihat 70 peratus perkhidmatan pesawat daripada AirAsia dan 30 peratus daripada syarikat penerbangan bukan AirAsia termasuk pesawat Airbus dan Boeing akan menggunakan kemudahan tersebut,” katanya.
Diasaskan pada 2020, ADE menawarkan perkhidmatan pesawat seperti penyelenggaraan, penyelenggaraan pangkalan, pembaikan dan baik pulih komponen, pengurusan gudang, perkhidmatan teknikal dan organisasi reka bentuk bersama-sama dengan penyelesaian kejuruteraan dipacu digital dan perkhidmatan sokongan kejuruteraan. – Bernama