BINTULU: Dua syarikat gas dan minyak iaitu Shell dan PTT Thailand Limited (PTTEP) berhasrat untuk melabur di Sarawak membabitkan nilai pelaburan RM8 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan itu adalah untuk pengeluaran gas masam di Sarawak.
“Ini bakal menambahkan pendapatan negeri sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi Sarawak pada masa akan datang.
“Usaha ini adalah selari dengan langkah kerajaan yang mewujudkan teknologi baharu berasaskan karbon bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa depan.
“Operasi dua syarikat perindustrian berasaskan gas dan minyak ini secara tidak langsung akan menambah nilai sumber sedia ada di Bintulu sekali gus mengukuhkan lagi sektor gas dan minyak di negeri ini termasuk industri hiliran yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Warisan Jepak di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan meneruskan tuntutan kepada Persekutuan bagi mendapatkan hak mutlak ke atas pengurusan dan kawal selia Pelabuhan Bintulu.
“Saya telah melaporkan kepada Perdana Menteri, di bawah Perlembagaan, pelabuhan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Sarawak. Tidak ada diskriminasi dalam soal ini.
“Justeru, Pelabuhan Bintulu perlu dikembalikan kepada Sarawak,” katanya.
Beliau percaya, pemulangan hak pengurusan Pelabuhan Bintulu akan merealisasikan impian Sarawak untuk menggabungkan urusan pentadbiran semua pelabuhan yang ada di negeri ini.
Selain itu, Abang Johari dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat perpaduan yang kukuh antara kaum dan bangsa di negeri ini khususnya masyarakat di Bintulu.
Beliau berkata, semua kaum dan etnik dilihat dapat duduk bersama-sama bagi berkongsi rasa serta kemeriahan sambutan Hari Raya seperti ditonjolkan menerusi majlis ramah tamah Aidilfitri.
“Inilah keunikan Sarawak yang mana semua kaum masih dapat bersama-sama meraikan apa sahaja perayaan sebagai sebuah keluarga besar dan ia harus dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan masing-masing sebanyak RM10,000 kepada empat badan kebajikan di Bintulu iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Bintulu, Koperasi Wawasan Ibu Tunggal Bintulu, Urusetia Saudara Kita Cawangan Jepak dan Peryatim Bintulu.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Ultiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Majang Renggi.
Oleh Carolyne Utih