SABTU lalu, kita di seluruh Malaysia meraikan Hari Raya apabila anak bulan tidak kelihatan pada Khamis. Hari Raya menandakan berakhirnya Ramadan dan bermulanya Syawal.
Dari segi sejarahnya, perayaan ini telah dijalankan tanpa putus walaupun Sarawak di bawah pentadbiran pelbagai kuasa asing seperti Raja Brooke, tentera Jepun dan pentadbiran koloni British.
Malah, pihak penjajahan ini memberi cuti umum kepada masyarakat Islam di Sarawak untuk merayakan hari tersebut. Tembakan meriam hormat juga dibuat bagi menandakan bermulanya 1 Syawal di Sarawak.
Tarikh Hari Raya
Apa yang menariknya dalam sejarah Sarawak, terdapat juga perbezaan pendapat mengenai tarikh bermulanya Hari Raya. Perbezaan ini pernah membuatkan Aidilfitri di Sarawak pada zaman penjajahan itu berbeza disambutkan oleh penduduk Sarawak. Hal ini kerana kenampakan anak bulan berbeza antara kawasan di Sarawak. Setakat ini, terdapat dua kali peristiwa ini berlaku pada zaman penjajahan.
Selain isu tarikh Hari Raya berbeza antara kawasan di Sarawak, pada 1960, terdapat penduduk Sarawak menimbulkan persoalan mengapakah Hari Raya di Sarawak disambut berbeza hari dengan Tanah Melayu dan Indonesia. Soalan yang dilontarkan oleh salah seorang penduduk Sarawak itu berpunca daripada Hari Raya yang disambutkan di Sarawak lewat sehari dengan Tanah Melayu dan Indonesia. Perkara ini menurut beliau telah berlaku sebanyak dua kali. Isu ini membawa perasaan was-was oleh beliau tentang adakah haram puasa beliau jika Sarawak merayakan Aidilfitri lewat dengan negara jiran. Isu ini telah dijawab oleh pihak berkuasa agama di Tanah Melayu dengan mengemukakan hadis-hadis yang sahih.
Kemeriahan Hari Raya
Apabila tiba Hari Raya, pada paginya masyarakat Islam di Sarawak mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Aktiviti kunjung-mengunjung atau ziarah menjadi amalan tradisi yang sering dilakukan oleh penduduk Islam di Sarawak. Sebelum ada kek Sarawak terutama era pemerintahan Brooke, hidangan pula berupa kuih bahulu dan pelbagai minuman.
Mercun tidak ketinggalan dimainkan semasa kedatangan tetamu dan dimainkan lagi sebelum mereka pulang. Bagi yang berada, mereka akan menggunakan meriam kecil untuk memeriahkan Hari Raya. Sebanyak dua das tembakan meriam dilakukan oleh mereka sebagai tanda hormat. Ketika televisyen belum diperkenalkan, masyarakat Islam di Sarawak mengadakan pelbagai aktiviti hiburan untuk Hari Raya. Ada dalam kalangan mereka mengadakan persembahan tarian dan lumba perahu serta sukan bola sepak.
Kemunculan pawagam di Sarawak memberi ruang kepada rancangan hiburan semasa Hari Raya. Ramai yang akan datang ke pawagam ini untuk menonton filem-filem ini. Beberapa filem terbaharu ditayangkan pada Hari Raya. Pawagam Lilian, Rex dan Capitol di Kuching dan Rex di Sibu akan memaklumkan filem terbaharu menerusi iklan-iklan mereka. Antara filem yang disaksikan adalah Houdini (1922), Sumpah Pontianak (1957), Noor Islam (1960) dan Istana Berdarah (1965).
Penghantaran kek
Apabila Malaysia ditubuhkan, beberapa perkara baharu mula menghiasai suasana Hari Raya di Sarawak. Ucapan Hari Raya daripada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia mula disiarkan pada Hari Raya di Sarawak pada 1964 menerusi corong-corong radio. Seterusnya, diikuti dengan rancangan Hari Raya dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti Dzahir dan Batin, Berpantun di Hari Raya dan Berhari Raya di Tanah Ayer.
Salah satu perkara baharu dan kekal diamalkan menjelang Hari Raya hingga ke hari ini adalah penghantaran bungkusan kuih yang terdiri daripada kuih bahulu, putu kacang, wajid dan biskut kacang serta sambal daging kepada anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di Sarawak. Fenomena ini berlaku kerana ramai tentera dari Tanah Melayu telah dihantar ke Sarawak termasuk Sabah. Ketika itu juga berlaku konfrantasi menyebabkan sebahagian besar tentera ini tidak dapat pulang ke Tanah Melayu semasa sambutan Hari Raya.
Oleh itu, pelbagai pihak termasuk kalangan Ibu UMNO dan Perkumpulan Perempuan Persekutuan Tanah Melayu terlibat dalam persiapan penghantaran kuih-kuih tersebut. Pada 1965 juga, Majlis Pusat Kebajikan dan Kementerian Kebajikan Am juga menyumbang bungkusan yang bukan setakat kuih muih tetapi juga bungkusan mengandungi makanan lain seperti dodol, kari ayam dalam tin dan sekeping daging goreng. Dua bungkus rokok juga disertakan dalam bungkusan tersebut.
Tambahan daripada itu, kad ucapan Hari Raya juga disertakan dalam bungkusan tersebut. Bagi anggota pelatih polis berasal dari Sarawak juga tidak sunyi daripada mendapat layanan kerajaan semasa Hari Raya. Pada 1965, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Kehakiman, Abdul Rahman Ya’akub memberi jamuan Hari Raya kepada pelatih polis dari Sarawak.
Larangan
Pada awal 1964 pula, terdapat tuntutan daripada Kesatuan Sekerja di Sarawak untuk meminta Kerajaan Negeri membayar gaji lebih awal pada musim perayaan. Namun permintaan mereka ini telah ditolak oleh kerajaan. Langkah seterusnya yang mereka ambil ialah mengadakan mogok. Menurut presiden kesatuan tersebut bahawa pada 1953 pihak kerajaan pernah memberi bayaran awal kepada penjawat awam.
Oleh kerana pada tahun-tahun awal penubuhan Malaysia, isu keselamatan, iaitu konfrontasi merupakan isu yang mendapat perhatian kerajaan. Dalam hal ini, pihak kerajaan telah mengharamkan penggunaan mercun semasa perayaan termasuk Hari Raya. Usaha ini dilakukan untuk menjaga keselamatan penduduk Sarawak yang masih lagi diancam masalah keselamatan.
Pada 1965 pula, terdapat usaha pemantauan harga barang semasa perayaan. Pada tahun itu, Hari Raya disambut hampir serentak dengan Tahun Baharu Cina. Atas sebab itu, pemantauan telah dilakukan atas harga barang agar ia tidak naik.
Penentuan Hari Raya
Walaupun Malaysia telah dibentuk, isu penentuan tarikh Hari Raya menjadi isu baharu di Sarawak dan Sabah. Hal ini berlaku sejak awal penubuhan Malaysia yang mana pemakluman tentang permulaan puasa dan Hari Raya diumumkan lewat tengah malam. Oleh itu, Ustaz Mortadza Daud menyatakan bahawa masalah ini berpunca daripada masalah komunikasi yang belum cekap menyebabkan penduduk Islam Sarawak menunggu lama untuk mengetahui tarikh puasa dan Hari Raya.
Oleh itu, ada cadangan pada 1969 untuk menentukan pemulaan puasa dan Hari Raya diadakan secara hisab. Ada juga cadangan untuk tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu. Secara keseluruhannya Hari Raya di Sarawak telah meniti zaman yang pelbagai, dan telah memantapkan usaha memperkukuhkan siraturahim dalam kalangan umat Islam dan penduduk Sarawak serta seluruh rakyat Malaysia.
Akhir sekali Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.