KAPIT: Pembinaan sebuah pasar baharu di Pekan Kapit bakal mengubah sosioekonomi penduduk setempat menerusi aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.
Walikota Majlis Daerah Kapit (MDK), Lating Minggang berkata, projek yang berkonsepkan pasar basah dan kering itu dibina berdekatan tebingan Sungai Rajang dan menelan kos sebanyak RM5 juta telah bermula pada Mac lalu dan dijangka siap pada November tahun depan.
Menurutnya, pembinaan pasar baru itu adalah atas permintaan orang awam bagi menampung pertambahan bilangan penjaja di Kapit.
“Bagi projek ini, sebanyak 95 gerai diperuntukkan kepada penjaja pasar kering dan 10 gerai lagi untuk penjaja pasar basah.
“Pasar ini merupakan Projek Rakyat yang diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari semasa lawatan beliau ke Kapit,” jelasnya pada upacara pecah tanah pasar baharu tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Pada majlis sama, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berharap pihak pemaju dapat menyiapkan projek tersebut dalam tempoh yang ditetapkan agar ia dapat dimanfaatkan dengan segera oleh penduduk yang mahu berniaga di pasar baru itu.
Katanya, pembinaan pasar baru ini membuktikan pekan Kapit semakin maju seiring dengan bahagian lain di Sarawak khususnya dalam meluaskan kebolehpasaran produk dari kawasan luar bandar.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Jefferson Jamit Unyat, Residen Bahagian Kapit Galong Luang dan timbalannya Robert Liman Deli, Setiausaha MDK Kelimbik Sibat serta ketua jabatan dan pimpinan masyarakat setempat.
Oleh AKUN GIMAN