CHERYL LAW
KUCHING: Peniagaan ikan dan sayur-sayuran di Kubah Ria di sini terjejas akibak wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan di Kubah Ria semalam mendapati ada gerai masih beroperasi seperti biasa dan orang ramai kelihatan masih sibuk membeli barang keperluan harian dengan menggunakan topeng muka sebagai langkah keselamatan dan menjaga kebersihan diri.
Menurut peniaga ikan di Kubah Ria, Haslan Buang, 39, harga ikan sekarang tidak ada naik dan macam biasa sahaja. “Ikan juga banyak tetapi harga tidak naik”.
Haslan memberitahu, peniaga dalam keadaan susah sebab pendapatan berkurangan dalam 50 peratus susulan wabak Covid-19 yang menyebabkan orang takut nak keluar.
“Pada masa sekarang, Ikan jarang habis dijual sebab pembeli berkurangan.
“Kalau tidak jual habis, peniaga rugi sebab ikan terpaksa dibuang kalau sampai empat atau lima hari dan peniaga kena tanggung risiko tinggi.
“Keadaan sekarang memang teruk. Duit simpanan terpaksa dikeluarkan untuk digunakan sebagai modal pusingan baharu,” katanya.
“Perasaan risau sebab perniagaan tidak bagus. Hari-hari tidak ada untung. Selepas itu, ikan perlu jaga betul-betul. Kalau tidak, sampai tiga hari atau empat hari ikan kena buang,” tegasnya.
Sementara itu, seorang peniaga sayur-sayuran, Voon Hiong Moi, 44, berkata harga sayur sekarang tidak mahal dan biasa sahaja tetapi orang tidak dapat keluar.
“Bekalan sayur juga banyak tidak dapat sampai ke sini. Sekarang pun susah nak mengambil bekalan sayur baharu disebabkan keadaan tidak menentu,” katanya.
“Kadang-kadang ambil banyak orang tidak beli. Perniagaan memang teruk sangatlah tetapi kalau orang nak beli kita jual sahaja. “Orang pun tidak banyak yang datang membeli dan tidak meriah. Ada sikit-sikit orang sahaja. Dua dan tiga orang macam tu dan gerai pun dibuka setengah hari sahaja dari jam 7.00 pagi hingga 1:30 petang. Sedih juga sebab barang tidak dapat dijual habis,” tambahnya.