BINTULU: Akibat gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan kebenaran membawa muatan sebuah bot tunda dan tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu.
Penahanan bot tunda dan tongkang yang sedang bergerak itu dilakukan pada jarak lebih kurang 7.32 batu nautika dari Tanjung Batu di sini pada 1.00 tengah hari, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda dan tongkang itu membawa lori, mesin jengkaut dan jentera penyedut pasir.
“Hasil pemeriksaan, nakhoda gagal mengemukan sebarang dokumen berkaitan bot tunda dan tongkang tersebut.
“Bot tunda dan tongkang itu dikendalikan oleh lima krew termasuk nakhoda, terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia dalam lingkungan usia 20 hingga 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bagaimanapun, tambah beliau, kelima-lima krew tidak ditahan kerana mempunyai dokumen yang lengkap dan memiliki dokumen pengenalan diri serta permit yang sah.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika disabitkan bersalah.
“Untuk rekod, tidak sampai seminggu, kesalahan yang sama turut dikesan berlaku di kawasan perairan yang sama.
“Justeru, Maritim Malaysia menasihati agar pengusaha bot tunda dan tongkang sentiasa beroperasi dengan dokumen yang sah dan membawa bersama ketika bot tunda dan tongkang beroperasi,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih
Oleh Carolyne Uti |