KUCHING: Jaguh sukan lasak kelahiran Bumi Kenyalang, Sally Yap pada Kejohanan Asia Trail Masters (ATM), Filipina yang berlangsung baru-baru ini, hari ini mendapat tajaan daripada Hock Seng Lee (HSL).
Ini sekali gus membolehkan Yap menyertai kejuaraan antarabangsa termasuk kejuaraan di Eropah yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Yap yang juga merupakan pemenang tempat kedua pada kejohanan Asia Trail Master 2022 bakal menyertai peringkat kelayakan bagi Kejohanan Gunung dan Jejak Dunia atau World Mountain and Trail Championship di Innsbruck, Austria yang dijangka bakal berlangsung pada Jun tahun ini.
Yap juga berharap untuk layak bagi acara Ultra-Trail du Mont-Blanc yang dijangka akan berlangsung pada Ogos ini.
Ini katanya, acara tersebut boleh dianggap sebagai laluan maraton ultra paling kompetitif di dunia.
“Tajaan ini amat bermakna kerana sukan marathon ultra adalah sukan khusus di Malaysia dan saya berlatih dengan gigih untuk memastikan setiap acara yang saya sertai menghasilkan keputusan yang baik bagi sekaligus untuk melayakkan saya pergi ke acara-acara yang lebih besar lagi.
“Saya berlatih hampir setiap hari iaitu berlari lebih 100 kilometer (km) secara konsisten antara Isnin dan Jumaat selain melengkapkan latihan peninggian 2,000 meter (m) pada hujung minggu,” katanya pada sidang media di Bangunan HSL, hari ini.
Jelasnya, latihan itu adalah bagi membolehkannya bersaing dengan atlet-atlet elit di seluruh dunia khususnya di Asia.
Untuk rekod, Yap melengkapkan laluan 112 km dengan peninggian 5,698 m dalam masa 23 jam 39 minit di Thailand.
Beliau juga bersaing di acara Borneo Ultra Trail Marathon di Sabah, dan menduduki tempat kedua dalam masa 22 jam 15 minit bagi laluan 108 km itu.
Selain sukan maraton ultra, Yap pernah memenangi tempat ketiga di acara Komtar Tower Climb di Pulau Pinangpada awal tahun ini, dengan mendaki 68 tingkat dalam masa 11 minit 53 saat.
Pada acara Miri Maraton 2023 baru-baru ini, Yap memenangi tempat ketiga dengan catatan masa 3 jam 36 minit bagi laluan penuh 42 km.
Oleh NICKELYSON LAKUN