Oleh: Rosani Hiplee
Sajak merupakan sebuah taakulan deria yang menyatakan perasaan dan pemikiran penulis dalam ungkapan yang estetik. Apabila menulis sajak, keupayaan dan inspirasi penulis dalam memilih, menyusun serta menata kata dengan harmoni akan menuntun pembacanya ke relung jalur pemaknaan frasa yang melibatkan kepekaan deria.
Sebuah frasa inderia yang membentuk kesatuan makna boleh menampilkan sebuah pemikiran yang telus sifatnya. Maka sebagai penulis sajak, jalinan frasa yang melibatkan kepekaan derianya perlu diolah dengan sebaik-baik penghayatan bagi memperkukuh nilai estetika pada nilai semantik sajaknya.
Selain itu, frasa yang melibatkan deria dalam bahasa sajak juga perlu cenderung menggunakan ungkapan yang telus, tulus, ramah dan tepat makna. Walaupun jalinan kata bersifat sederhana tapi mampu memerikan makna yang berbeza pasti menjadikan sajak tersebut menarik untuk ditaakul oleh pembaca dengan ralit. Seperti kata A. Teeuw, iaitu;
“Puisi menjadikan hal yang sederhana menjadi aneh, yang mudah difahami dirumuskan secara berliku-liku, sehingga mengejutkan, bahkan bisa mengelirukan. Justeru keanehan itu menjadikan puisi mengesankan, sukar dilupakan, terpatri dalam ingatan.”
Oleh itu, syabas kepada penulis muda seperti Lt Kol(Dr) Mohd Fadzly bin Haji Miswan, Nur Alina Semulih dan Shafida Rosllan kerana sajak mereka telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), akhbar Utusan Sarawak pada hari Khamis yang lalu. Semoga dengan pencapaian sebegini akan terus mendorong mereka untuk terus berkarya dengan nukilan frasa deria yang lebih tuntas dan bernas.
Dalam penulisan sajak, lazimnya penulis akan membahaskan tentang kehidupan seharian seperti masyarakat, sosial, agama dan sebagainya. Maka, ketiga-tiga buah sajak yang disiarkan tersebut jelas menyangkut soal-soal panasaran dan ideologi penulis itu sendiri. Hal ini wajar kerana ungkapan sajak yang sedemikian pasti berbaur jujur dan mekar sejalur dengan pengalaman serta pengamatan inderia itu sendiri. Mudah-mudahan nilai perasaan dan gagasan yang diolah tersebut dapat memaknakan sesuatu kepada pembacanya dengan menyeluruh.
Sajak “Nilai Sebuah Nyawa” oleh Lt Kol(Dr) Mohd Fadzly bin Haji Miswan bertemakan harga sebuah kemanusiaan yang hakiki. Sajak ini menguliti tentang keperitan hak individu yang dikhianati dengan kekejaman yang hilang nilai kemanusiaannya. Dalam rangkap awal sajak, penulis mengungkapkan sebuah peristiwa yang tirani dan sadis. Misalnya;
Lahapnya pelaku dahsyat
Gara-gara tangan keparat
Kelmarin disayat, hari ini dikerat
Besok dibuang cacat
(rangkap 1, sajak “Nilai Sebuah Nyawa”)
Menerusi dua buah rangkap seterusnya pula, penulis memperkatakan tentang sikap individu pendendam yang angkuh dan lupa pada kejadian diri yang manusiawi. Impaknya, dia semakin jahat dan tiada lagi nilai insaniah dalam dirinya. Misalnya;
Kapan dirinya
Berhakim pada noktah kebencian
Berimam pada qasidah dendam
Beraja pada amarah berboyong
Rontok putik-putik simpati
Sahsiah bejat, hilang tebiat
Dampaknya jasad beringsut menjadi mayat
Nilai nyawa disiat-siat
(rangkap 2 dan 3, sajak “Nilai Sebuah Nyawa”)
Manakala dalam rangkap akhir sajak, penulis masih terkilan kerana harga kemanusiaan yang direnggut akibat kesumat penganiayaan benar-benar telah meragut digniti sebuah kemanusiaan yang dikorbankan tanpa prejudis.
Tergambar bayangan akhir si korban
Diheret jadi tebusan
Bisa merintih, barangkali meroyan
Tidak menyanggupi hayat mahu ditamat
Pelakunya kerabat atau sahabat
Hadir aniaya berbaur hanyir kesumat
(rangkap 5, sajak “Nilai Sebuah Nyawa”)
Sajak ini berbentuk bebas dan dibina dalam lima buah rangkap yang sederhana panjangnya. Gaya bahasa sajak ini juga biasa. Pemilihan kata dalam sajak ini masih perlu penelitian yang lebih komunikatif. Justeru penggunaan unsur-unsur persajakan seperti simile, perlambangan, personifikasi, metafora dan lain-lainnya masih perlu diolah dengan lebih harmoni dan tepat bagi memaknakan frasa deria sajak yang lebih menggugah kebenaran.
Walaupun penulis tampak cenderung dalam memanipulasikan frasa yang melibatkan deria maskulin namun masih terdapat beberapa baris frasa dalam sajak ini yang terlalu menonjol dan menunjal semantiknya. Misalnya, dalam penggunaan kata seperti keparat, bangsat dan bejat. Ketiga-tiga kata tersebut berbaur emosi yang kurang dikawal oleh kewarasan etika keperibadian individu. Justeru apabila diri berasa marah, sebaik-baiknya biarlah amarah yang berhemah sebagai petanda nilai keperibadian yang murni kepada khalayak pembaca.
Frasa yang melibatkan deria tersebut juga agak berlebihan bagi menggambarkan apa yang mahu diungkapkan. Penulis tidak menyatakan apa sebenarnya kejadian yang sedang diungkapkannya tersebut. Adakah kezaliman yang diungkapkan tersebut berkaitan mangsa peperangan, penderaan, penganiayaan atau psikopat? Jika yang diungkapkan oleh penulis berkaitan hal-hal tersebut, sewajarnya penulis lebih khusus dalam mengkritik dengan memberi penyelesaian yang lebih menggugah kerasionalan frasa yang melibatkan deria dalam mengendalikan suasana hati.
Sajak “Penanti” oleh Nur Alina Semulih bertemakan kerinduan yang peribadi sifatnya. Persoalan-persoalan yang diungkapkan dalam sajak ini ralit menukilkan syahdu hati penulis yang merindui sesuatu yang sangat istimewa. Sajak ini melibatkan frasa deria penulis yang tuntas. Misalnya;
Tatkala rembulan
Di selubung rindu
Mata berkaca
Menahan sendu
Jiwa kini terasa pilu
Dan bibir mulai terdiam kaku.
(rangkap 1, sajak “Penanti”)
Manakala dalam dua buah rangkap berikutnya lagi, penulis seperti ingin mencari pelarian daripada penasaran jiwa yang larut diamuk rindu yang mendera suasana hati. Pelarian yang dipilih begitu berkesan kerana penulis seperti dapat mengendali gelora rindu dengan ketenangan jiwa yang berzikir. Misalnya;
Andai rasa ini
Dapat diungkap
Tercipta puisi
Menjadi penguat
Buat memujuk
Rindu yang belum terubat
Yang terbuku di dada
Teramat berat.
Diiringi
Irama dan lagu
Lidahku terkelu
Bersama
Tangisan hujan
Itulah menjadi peneman
Di dalam doa
Kirimkan rindu ini padanya
Dalam baris zikir
Mampu tenangkan jiwa.
(rangkap 2 dan 3, sajak “Penanti”)
Pada rangkap akhir sajak pula, penulis mengungkapkan impian hati dengan menanti cahaya harapan yang dipercayainya untuk melepaskannya daripada belenggu rindu yang ada. Misalnya;
Rembulan
Masih menanti
Cahaya sang mentari
Adakah ia mampu
Mengubati rindu ini.
(rangkap 4, sajak “Penanti”)
Pemilihan kata dalam sajak ini cukup sederhana dan sesuai dengan pernyataan frasa yang melibatkan deria penulis yang meyakini harapan dalam kerinduannya itu. Sajak ini berbentuk bebas kerana tiada keterikatan pada pengulangan rima akhir baris sajak seperti kriteria syair atau pantun. Sajak ini dibina daripada empat rangkap sederhana yang melibatkan patahan frasa yang melibatkan kepekaan derianya yang sendu.
Gaya bahasa sajak masih kurang dimanfaatkan bagi membangkitkan estetika frasa yang melibatkan kehalusan inderia. Justeru penggunaan unsur-unsur persajakan seperti metafora, pencitraan, personifikasi dan lain-lainnya masih perlu diolah dengan lebih segar bagi memaknakan larik sajak yang lebih mengalir.
Sebaik-baiknya penulis memanfaatkan beberapa unsur persajakan yang sesuai bagi membangkitkan sensual frasa yang melibatkan deria ketika sajak ini ditulis dengan memahami sepenuhnya suasana ketika rindu. Misalnya pada frasa bergaris rangkap pertama sajak seperti berikut;
Tatkala rembulan hati
diselubung ungu rindu
tatap berkaca kabur
dibayangi bias sendu
jiwa kini terasa pilu
bibir dioles kaku.
Terakhirnya ialah sajak “Bulan Cinta” oleh Shafida Rosllan merupakan sebuah sajak yang bertemakan bulan Ramadan. Penulis mentafsirkan bulan Ramadan sebagai bulan cinta kerana dalam bulan tersebut penuh dengan kehangatan cinta Tuhan yang sarat rahmat kepada hamba-Nya tanpa batas syarat yang sepenuhnya dengan rasa tulus, reda dan syukur. Hal ini diungkap jelas dalam rangkap kedua sajak, iaitu;
Bulan cinta
Menggesa pencinta
Merangkul dalam bukti
Cinta sejati yang hakiki
Mengimarahkan rasa rindu yang satu
Sebelum ia beransur pergi
Usai tiga puluh hari.
Manakala dalam rangkap akhir sajak, penulis menyatakan bahawa sepanjang bulan Ramadan, ayat-ayat suci al-Quran pasti ditaakul sepenuh jiwa oleh para muslimin dan muslimah dalam menggapai puncak nikmat rasa bercinta yang hakiki. Misalnya;
Bulan cinta
Tidak pernah sunyi
Dengan ayat-ayat suci
Memuja kuasa Ilahi.
Demikianlah penulis menukilkan bulan Ramadan sebagai bulan cinta yang syumul dan paling syahdu bagi hamba yang beriman dengan sepenuh tawaduknya. Bulan cinta yang membebaskan diri mukmin dan mukminat daripada belenggu kelalaian yang ada pada sebelum dan selepasnya.
Bentuk sajak ini bebas dan dibina daripada tiga buah rangkap yang sederhana panjangnya. Gaya bahasa sajak biasa dan masih memerlukan penelitian semula agar makna frasa yang melibatkan deria akan lebih mendominasi elemennya. Pemilihan kata sajak pun mudah difahami. Sebaik-baiknya, penulis bersedia memanfaatkan manipulasi kata yang lebih wibawa dan estetik pada keseluruhan isi dan naratif dalam sajak ini. Oleh itu, sangat digalakkan agar penulis bersedia membaca sajak-sajak penulis mapan yang diminati agar penulis dapat menemukan proses pengolahan makna frasa inderia yang lebih tuntas dan bernuansa agar pembaca dapat menikmatinya dengan segala keindahan roman jiwa yang bercinta.
Seperti kata A. Teeuw, iaitu;
“Sebuah sajak dinilai baik jika sajak tersebut mampu mempersembahkan perasaan semua orang yang membacanya.”
Selain itu, penulis perlu menyelidiki dan meyakini sebarang fakta yang ingin digarap dalam sajaknya agar dapat difahami oleh pembaca tanpa harus menyukarkan dan mengelirukannya. Dalam rangkap pertama sajak ini, baris kalimat sajak “dua belas badira” tidak dapat difahami maksudnya kerana kata “badira” tidak ditemui dalam kamus. Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan dengan dua belas badira tersebut?
Semoga dengan teguran dan saranan yang ada, penulis dapat mengerti maksud yang mahu disampaikan dengan berlapang rasa dan tanggapan. Rumusnya, ketiga-tiga buah sajak yang dibicarakan sebelumnya memang mempunyai kekuatan persoalan yang tersendiri apabila dinilai daripada angka usia pengalaman penulis masing-masing. Semoga para penulis muda ini terus tampil terampil dengan hasil sajak yang ingin diolahnya dengan memanfaatkan sepenuhnya kesesuaian frasa dan makna yang melibatkan deria secara tuntas.
Sesungguhnya, potensi dan minat Lt Kol(Dr) Mohd Fadzly bin Haji Miswan, Nur Alina Semulih dan Shafida Rosllan dalam genre sajak ini wajar diberi ruang dan peluang yang lebih menyeluruh lagi. Justeru masing-masing berkebolehan dalam memperlihatkan nilai kepenyairan diri. Cuma mereka harus terus belajar untuk memahami kriteria pemilihan frasa yang melibatkan deria dalam menulis sajak agar olahannya kelak lebih komunikatif, harmonis dan penuh pengertian. Mudah-mudahan sikap positif teguh menjejaki diri ke jalan kritik yang lebih membina dan terbuka. Syabas dan sukses, selalu!