VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Kehilangan seorang lelaki sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemui kawasan ruang tamu dalam sebuah rumah di Lorong 2B, Taman Vistagro dalam bandar ini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John berkata mayat mangsa berusia 56 tahun itu ditemui sepasukan polis setelah menerima aduan daripada jiran yang terhidu bau busuk ketika cuba memeriksa keadaan hadapan rumah mangsa berkenaan.
“Sebelum berlakunya penemuan tersebut, mangsa iaitu Puji Gunting, 56, yang berasal dari Basi, Engkilili dikatakan gagal dihubungi beberapa kali oleh iparnya semenjak beberapa hari lepas.
“Jiran-jiran mangsa yang mendapat tahu tentang perkara ini kemudiannya bertindak memeriksa dan memanggil mangsa dari luar pekarangan rumah sebanyak beberapa kali pada Selasa lepas namun gagal mendapat sebarang maklum balas,” kata beliau.
Hasil pemeriksaan jiran berkenaan katanya juga mendapati kereta dan motorsikal milik mangsa masih lagi parkir di dalam pagar hadapan rumah begitu juga dengan sepasang selipar milik mangsa yang masih terletak di hadapan pintu masuk.
Bagaimanapun jiran mangsa kata Bingkok mula mengesyaki sesuatu setelah tercium bau busuk dari pekarangan hadapan rumah berkenaan dan segera tampil di Balai Polis Sri Aman untuk membuat laporan berhubung perkara tersebut.
“Pihak kami segera mengerahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sub Inspektor Atang Baraoh dengan pintu rumah mangsa dibuka secara paksa menerusi bantuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman.
“Sebaik sahaja masuk, mangsa didapati sudah meninggal dunia dalam posisi terbaring mengiring ke kanan di atas kusyen panjang dengan keadaan mayatnya sudah menjadi kehitaman, mengembang dan busuk,” katanya.
Hasil siasatan awal pihak polis kata Bingkok lagi mendapati tiada tanda jelas kecederaan fizikal pada mayat mangsa dengan keadaan rumah berada dalam keadaan bersih dan tidak diselongkar ketika penemuan tersebut dilakukan.
“Kita percaya mangsa merupakan lelaki bujang sudahpun meninggal dunia selama lima hari berdasarkan kepada keadaan fizikal mayatnya yang sudah mengembang kehitaman dan berulat di kusyen tersebut,” ujarnya.
Bingkok turut memberitahu siasatan laporan kes mati mengejut (SDR) akan dilaksana dengan pihaknya masih belum memperoleh sebarang fakta atau keterangan perbuatan berunsur jenayah setakat ini.
“Kali terakhir mangsa dilihat ialah pada pagi 21 Mei lepas di Bandar Simanggang sebelum jiran tetangga langsung tidak terlihat kelibat si mati keluar dari rumah semenjak itu,” katanya.