NEKAD untuk memperoleh pendapatan yang lebih dan berbudi kepada tanah, usaha berterusan tersebut memberikan pulangan yang agak lumayan kepada seorang anak Sarawak, Chai Kian Jiew yang mengusahakan tanaman nanas sejak 2010.
Didorong oleh minat yang mendalam dan kesedaran terhadap manfaat serta kebaikan nanas kepada kesihatan, Kian Jiew, 45 berkata dia terdetik untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya baharu.
“Selain menyedari khasiat yang terkandung di dalam sebuah nanas, saya juga sedar ia juga mendapat pasaran yang besar sama ada di Malaysia dan juga hingga ke luar negara. Justeru itu, saya bertekad untuk mempelajari cara penanaman nanas sebelum mengusahakannya menjadi ladang seperti sekarang.
“Sebelum saya mengusahakan penanaman nanas dengan lebih besar seperti sekarang, saya menggunakan tempoh lima tahun untuk mengikuti pelbagai kursus yang dilaksanakan oleh Lembaga Perindustrian Nanas serta belajar daripada ahli agronomi dari Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Bermula dengan saiz ‘sekangkang kera’ yakni seluas satu ekar, kini saiz ladang tanaman nanas yang diusahakan oleh Kian Jiew mencecah 14 ekar meskipun bidang pertanian tersebut bukan kerja sepenuh masanya ekoran daripada masalah ketiadaan pekerja.
Dalam pada itu, Kian Jiew yang merupakan pengurus kedai makan Siang Siang Corner berkata ladang yang diusahakannya di Ladang Meranek 3, Kota Samarahan turut dianugerahkan sijil Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) yang diperakui Jabatan Pertanian Sarawak.
“Di bawah SPBT, Pegawai Pemeriksa kompeten akan memperakukan anak benih klon buah-buahan yang memenuhi standard ditetapkan. Ini membuktikan bahawa buah nanas yang saya tanam adalah berkualiti, benihnya bagus manakala sulur nanas juga bukan kultur tisu.
“Perakuan sijil ini adalah untuk tanaman nanas jenis MD2 yang saya usahakan kerana jumlah tanaman adalah lebih besar yang melibatkan 40,000 pokok induk manakala bagi nanas jenis N36 dan Morris, ia masih diusahakan dalam skala yang lebih kecil,” tambahnya.
Dengan bermodalkan lebih kurang RM3,000 sebulan bagi kos penjagaan untuk membeli racun perosak dan baja, Kian Jiew memberitahu dia turut menjual sulur kepada pelanggan yang berniat untuk menanam nanas.
Menjelas lanjut, tambahnya nanas yang dijual adalah berdasarkan berat atau dikira biji berdasarkan jenis nanas dan permintaan peniaga.
Meskipun menghadapi pelbagai cabaran seperti cuaca yang tidak menentu dan serangan binatang perosak seperti monyet, ia tidak mematahkan semangat Kian Jiew untuk terus memperluas perniagaan tersebut memandangkan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.
Turut mengambil inisiatif untuk menghasilkan jus nanas asli bagi mempelbagaikan produk jualan, jejaka berbangsa Cina dari Muara Tuang tersebut mengakui jus nanas yang dihasilkan tidak menggunakan sebarang bahan pengawet atau air.
“Bagi jus nanas, saya hanya membuatnya sekira ada mendapat tempahan. Ini kerana ia tidak tahan lama sekiranya disimpan di tempat yang kurang bersesuaian dari segi suhu dan sebagainya.
“Jus nanas yang dihasilkan dapat bertahan hingga empat bulan sekiranya disimpan dalam suhu kosong hingga lima darjah celsius,” ujarnya yang kini turut aktif dalam memberi latihan serta berkongsi ilmu pengetahuan kepada anak muda untuk mempelajari mengenai penanaman nanas.
Oleh RYNNA SHA’ERRA