KUCHING: Kementerian Pengangkutan menggerakkan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) secara serentak di semua peringkat bermula esok (18 April) hingga 27 April ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi laman rasmi Facebooknya berkongsi tujuh kesalahan utama lalu lintas tidak boleh dikompaun.
Tujuh kesalahan lalu lintas sering dilakukan terutama sekali menjelang perayaan iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal mematuhi lampu isyarat merah, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan tidak pakai tali pinggang keledar.
Kesemua kesalahan ini tidak dibenarkan untuk dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah.
Seperti kawalan tahun sebelum ini, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan akan berkuat kuasa beberapa hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri iaitu 20 hingga 21 April dan 24 hingga 25 April.
Larangan ini bertujuan mengelak risiko berlaku nahas di jalan raya akibat percampuran aliran trafik bersama kenderaan berat dan ringan lain.
Pada tahun sebelum ini, kementerian turut mewartakan penurunan had laju sebanyak 10km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri bagi tempoh sama (Jalan Persekutuan 80km/j, Jalan Negeri 70km/j).
Pada masa sama, pasukan peronda JKR juga akan ditubuhkan di setiap Daerah/Jajahan bagi membantu memantau sebarang kerosakan jalan dan kemalangan sepanjang tempoh Ops Bersepadu.
Menerusi kempen ini kementerian berharap mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan daripada kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030, berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.