LAWAS: Sebuah bot pemintas pengawal pantai telah ditempatkan di Lawas untuk meningkatkan kawalan keselamatan di perairan zon utara Sarawak.
Menurut Jurucakap Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, Bahagian Timur, Pejabat Laut Lawas, penempatan aset ini adalah inisiatif Kerajaan Sarawak yang amat signifikan dari segi meningkatkan kawalan keselamatan persisiran pantai dan memelihara alam persekitaran selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Penempatan bot pemintas ini juga dapat menjadi pelengkap kepada agensi-agensi sedia ada.
Ini sekali gus mewujudkan suasana aman, kondusif dan pengwujudan persekitaran yang selamat bagi nelayan serta penduduk-penduduk di kawasan perairan Sarawak.
Sehubungan itu, satu majlis doa selamat telah diadakan bersempena penempatan bot pemintas di Jabatan Laut Daerah Lawas pada Jumaat lalu.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Lawas Joseph Ganang Surang, Penolong Pengawal Pelabuhan Jabatan Laut Simon Saging wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas dan jabatan serta agensi-agensi lain di Daerah Lawas.