PUTRAJAYA: Dua kawasan mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat semalam iaitu di Segamat, Johor dan Tanah Merah, Kelantan, demikian menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dicatatkan di Segamat adalah 139 manakala Tanah Merah adalah 109 yang direkodkan setakat 2.00 petang semalam.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala 300 ke atas berbahaya.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, negara sekarang berada dalam fasa peralihan monsun bermula 23 Mac lepas dan dijangka berakhir pertengahan Mei depan.
Berdasarkan laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, katanya dalam fasa tersebut, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang meningkatkan potensi kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata JAS akan sentiasa memantau trend bacaan IPU di seluruh negara dari semasa ke semasa dan menjalankan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka secara harian.
Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata berdasarkan laporan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 12 April lepas, terdapat tiga titik panas dikesan melalui imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA20) masing-masing di Selangor, Terengganu dan Sarawak.
“Titik panas yang dikesan akan disiasat mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Dalam keadaan cuaca panas dan kering, beliau berkata keadaan persekitaran kelihatan berjerebu terutama selepas waktu puncak disebabkan pelepasan asap kenderaan, industri, aktiviti kerja tanah dan juga kejadian pembakaran terbuka di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.
“Ini disebabkan oleh habuk-habuk halus yang terhasil daripada aktiviti tersebut akan memantul cahaya matahari menyebabkan keadaan udara berjerebu,” katanya.
Wan Abdul Latiff berkata kebakaran tanah gambut yang berlaku di Riau, Indonesia sedikit sebanyak turut menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU di selatan pantai barat Semenanjung Malaysia.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
Menurut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. – Bernama