TAHUN lalu, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan tarikh Hari Raya yang di luar dugaan apabila ia diumumkan pada Isnin, 2 Mei 2022 sedangkan ramai menjangka perayaan itu disambut pada Selasa, 3 Mei 2022.
Apabila Aidilfitri disambut sehari lebih awal daripada jangkaan itu, ia sekali gus mencetuskan situasi ‘cemas’ khususnya bagi mereka yang merancang mahu membuat persediaan akhir.
Malah, beberapa hari sebelum itu ada desas-desus, selain sudah tular di media sosial bahawa Hari Raya di Malaysia mungkin disambut pada Isnin, 2 Mei 2022.
Namun, desas-desus itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengumumkan tarikh Hari Raya untuk disambut Isnin, 2 Mei 2022 sama seperti khabar angin yang bertiup kencang beberapa hari sebelum itu.
Tahun ini pula ramai menjangka 1 Syawal iaitu Aidilfitri jatuh pada Sabtu, 22 April berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab, dan berikutan hari pertama puasa 23 Mac lalu, untuk mengenapkan puasa 30 hari.
Tetapi laporan Gulf News Jumaat lalu, 7 April mengejutkan orang ramai apabila menjangkakan Jumaat, 21 April sebagai hari pertama Aidilfitri.
Ini berdasarkan pengumuman Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.
Menurut portal Gulf News, bagaimanapun, beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.
Jelas portal itu lagi, bagaimanapun beberapa negara Islam lain berkemungkinan dapat menyaksikan anak bulan pada tarikh berkenaan.
Laporan itu menyatakan kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya yang akan menjadikan hari Jumaat, 21 April sebagai hari pertama Aidilfitri.
Senario tahun lalu berulang?
Beberapa media arus perdana dan media sosial di negara ini turut memetik laporan itu, sekali gus tular di seluruh negara serta negara jiran. Senario itu bagaikan mengulangi desas-desus Aidilfitri tahun lalu.
Ada yang berpendapat negara di Asia Barat dan zon waktu negara itu lebih awal dari Malaysia, memungkinkan Aidilfitri disambut pada Jumaat 21 April, tetapi waktu di sebelah Malaysia adalah Sabtu 22 April.
Tetapi kejutan yang berlaku pada tarikh Hari Raya tahun lalu, diadakan sehari lebih awal di Malaysia iaitu sama hari dengan Arab Saudi dan negara di Asia Barat.
Bagaimanapun, untuk Malaysia kita tunggu pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada petang atau malam Khamis depan sama ada anak bulan kelihatan atau tidak.
Nampak anak bulan, esoknya (Jumaat) kita raya; tidak nampak anak bulan atau tidak cukup syaratnya, lusanya (Sabtu) kita raya.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada sesi soal-jawab dalam satu video di media sosial baru-baru ini turut diminta mengulas isu ini.
Katanya, jika mengguna pakai kaedah perkiraan digunakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu kriteria baharu menunjukkan Hari Raya hampir pasti jatuh pada Sabtu, 22 April ini.
“Tetapi ahli falak lain dan Muhammadiyah Indonesia (organisasi Islam terbesar di Indonesia) mempunyai kiraan berdasarkan hilal, kata Hari Raya jatuh pada Jumaat (21 April). Kiraan itu menyebabkan Muhammadiyah, satu organisasi besar (bukan kerajaan Indonesia) telah isytihar Raya pada Jumaat.
“Cumanya kita baca berita dari UAE, apabila pusat astronominya menyatakan bahawa Raya pada Jumaat. Bezanya ialah dari segi matlak (tempat terbit objek langit), sebab jauh dari kita.
“Itulah… tetapi tidaklah mustahil (Malaysia) untuk Raya pada Jumaat juga kalau ada yg nampak (anak bulan). Di situ ada sedikit kekeliruan tentang bila Hari Raya,” katanya.
JAKIM perlu semak semula
Dr Mohd Asri berkata secara peribadi, beliau meminta JAKIM untuk kembali menyemak semula kriteria yang mereka gunakan iaitu kriteria baharu digunakan tahun lepas dan tahun ini.
“Kriteria itu telah menimbulkan kekeliruan, tahun lepas dah keliru. Padahal dia orang kata tak nampak (anak bulan Syawal) ternyata tahun lepas nampak. Ini merupakan pemilihan kriteria yang mungkin boleh dipersoalkan. Ini kerana tim yang JAKIM lantik itu, mereka itulah yang buat kriteria dan telah bentangkan pada muzakarah yang babitkan mufti-mufti.
“Mufti bukan ahli falak, kebanyakannya. Jadi mereka tak dapat nak bagi pandangan balas. Dan peliknya, kita di matlak yang sama…. negara seperti Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Kemboja, sepatutnya raya dan puasa pada hari yang sama. Salah satu tempat nampak (anak bulan), patut dipakai pada tempat yang lain.
“Kalau Malaysia nampak pada satu tempat, pakai Malaysia sahaja. Penyelarasan di peringkat atasan perlu dibuat. Kalau tidak macam pelik, masing-masing ikut kerajaan masing-masing. Kita menggesa supaya negara-negara ASEAN menyatukan hal ini. Kalau Indonesia nampak (anak bulan) cukup, Malaysia pakai. Kalau Malaysia nampak, Indonesia pakai. Kalau Brunei nampak, yang lain pakai. Kalau Singapura nampak, yang lain pakai.
“Nanti orang Thailand Raya Jumaat, tak mustahil… kita yang sebelah sini tak raya lagi. Ini adalah sesuatu yang tak wajar. Ini bukan soal Islam, tetapi soal pengurusan pihak JAKIM khususnya perlu melakukan semakan dalam hal ini,” katanya.
Bagaimanapun, pihak JAKIM dalam kenyataan kelmarin memohon semua pihak untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya pada tahun ini.
Ia menyatakan pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri 1444 H / 2023 M akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja setelah membuat cerapan hilal.
Penetapan adalah tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi seluruh negara.
Ketika diumumkan Hari Raya sehari lebih awal tahun lalu, pihak JAKIM mempertahankan kaedah diguna pakai iaitu menggunakan Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Aidilfitri dan Aidiladha, selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang telah dipersetujui semua negeri.
Menurut JAKIM proses tersebut telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berautoriti.
Turut mengulas isu sama baru-baru ini ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang menyatakan bahawa berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab, kemungkinan besar Aidilfitri disambut pada Sabtu, 22 April.
“Bagi kami, kami bergantung kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk mengumumkan tarikh rasmi dan tidak semestinya kami mengikut apa yang diumumkan oleh berita dari negara-negara berkenaan (UAE).
“Tarikh rasmi Hari Raya di Malaysia akan ditentukan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Pihak jawatankuasa ini berkuasa untuk menentukan apabila melihat anak bulan berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab,” katanya.
Mufti Kedah Syeikh Fadzil Awang seperti dilaporkan sebuah akhbar nasional berpandangan kemungkinan anak bulan kelihatan pada malam Jumaat sangat tipis.
“Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terlibat bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan.
“Jangan berbalah atau sebar tentang spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada Jumaat,” katanya.
Apapun kita tunggu dan lihat pengumuman pada Khamis depan, 20 April iaitu pada malam Jumaat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.