MANILA: Sekolah di Filipina hanya akan dibuka semula jika vaksin Covid-19 ditemui, biarpun ada beberapa negara sudah memulakan sesi pembelajaran di sekolah.
Presidennya, Rodrigo Duterte, berkata sekolah sepatutnya dibuka pada akhir Ogos ini, membabitkan kira-kira 25 juta murid sekolah rendah dan menengah, selepas ditutup Mac lalu susulan penularan Covid-19.
Namun, risiko terhadap murid dan pelajar sekolah sangat tinggi jika sistem akademik kembali beroperasi.
“Justeru, hanya jika mereka keselamatan mereka benar-benar dapat dipastikan, baru kita akan bincang mengenai pembukaan sekolah, biarpun pendidikan mereka terjejas akibatnya.
“Apa yang penting ialah jika vaksin ditemui dan sudah tersedia, baru kita boleh buka semula sekolah, tidak mengapa jika mereka tidak dapat tamatkan pengajian,” katanya dalam ucapan yang disiarkan petang kelmarin.
Biarpun penyelidik di seluruh dunia berusaha mencari vaksin bagi Covid-19, setakat ini tiada kepastian saintis mana yang akan berjaya membangunkan penawar itu dan membekalkannya secara besar-besaran.
Sekolah awam di Filipina biasanya bermula antara Jun dan April, namun pihak berkuasa menangguhkannya susulan pandemik virus itu yang memuncak dan pelaksanaan perintah berkurung secara ketat mengakibatkan banyak sektor ditutup.
Jutaan penduduk yang hidup dalam kemiskinan tegar di negara itu turut menimbulkan masalah akses kepada komputer di rumah untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian.
Pandemik global itu juga mengakibatkan berjuta kanak-kanak seluruh dunia terpaksa berkurung di rumah, namun ada negara yang menjalankan kelas dalam talian secara berkumpulan di Korea Selatan dan Perancis.
Setakat petang tadi, Filipina melaporkan 14,319 kes jangkitan Covid-19 termasuk 873 kematian. – AFP