SEORANG sarjana pembangunan iaitu Björn Hettne pernah menyatakan bahawa aspek etniksiti sering diabaikan dalam pertimbangan naratif pembangunan termasuklah dalam teori-teori modenisasi dan teori klasik Marxist. Aspek etniksiti merupakan sebuah konsep rencam meskipun selalu dipermudahkan pemahamannya oleh pihak lain.
Etniksiti melibatkan aspek definisi secara individu dan jenis stratifikasi sosial berdasarkan kepercayaan dan kenyataan yang berlaku dalam sesebuah komuniti. Ia juga mempunyai ciri-ciri khusus dan amalan budaya mereka membezakan yang lain.
Pada masa sama, terdapat pandangan dalam teori modenisasi bahawa bentuk amalan kebudayaan dalam etniksiti sering dilabel sebagai menghambat pembangunan, malah dianggap kurang rasional, bersifat tradisional dan kurang sesuai dengan keperluan sifat individu dan dunia kapitalis. Malah golongan fahaman Marxist menyifatkan aspek etniksiti dianggap situasi moden dan penghambat kepada pembangunan kerana lebih kepada etniksiti dan bukannya kelas sosial.
Stavenhagen (1986) ahli sosiologis kelahiran Jerman-Mexico merupakan yang pertama menggunakan istilah etno-pembangunan untuk menjelaskan bahawa pembangunan perlu mengambil kira keperluan setempat. Menurut Hettne (1995, 1996), terdapat empat aspek utama pembangunan etno iaitu aspek territorialisme, kehendak diri individu, pluralisme budaya dan kelestarian ekologi.
Territorialisme
Aspek ini merujuk kepada penekanan kepentingan kawasaan, wilayah atau tanah dalam pemilikan dan pengendalian oleh kelompok etnik tertentu sebagai faktor penting untuk menjana pembangunan, kemajuan atau perkembangan etnis itu sendiri. Kawasan yang dimiliki ini merupakan sumber penting digunakan untuk pembangunan setempat dan mempromosikan kepentingan ekonomi, sosial, budaya, dan politik kelompok etnik tersebut.
Dalam kebiasaannya, territorialisme dalam etno-pembangunan meliputi pelbagai strategi, seperti pemilikan tanah oleh komuniti etnik, pengembangan sumber daya alam yang terkait dengan wilayah tersebut dan pengelolaan wilayah tanah mahu pun landskap budaya yang dianggap penting oleh kelompok etnik untuk dimajukan.
Kadangkala, jika tidak terkawal aspek territorialisme berpotensi menjadi sumber konflik antara kelompok etnik yang berbeza dan ini dapat menghambat integrasi dan kerjasama antara kelompok etnik. Misalnya konflik yang melibatkan tanah adat yang berbeza dengan etnik lain. Justeru, penting untuk mempertimbangkan implikasi sosial, politik dan budaya dari aspek wilayah dalam konteks etno-pembangunan.
Kehendak diri etnik
Istilah Internal Self-Determination atau penentuan kehendak diri etnik dalam etno-pembangunan merujuk pada hak kelompok etnik tersebut untuk mengawal dan mengelola kehidupan mereka sendiri secara berdikari, termasuk dalam mengurus hal kebudayaan, politik dan ekonomi.
Konsep ini menekankan pada kepentingan kelompok etnik dalam membangun kemampuan dan sumber daya mereka sendiri, tanpa tergantung pada pihak luar atau kekuatan dominan. Mereka tidak terpisah daripada politik dan budaya kehidupan wilayah mereka, pada masa sama menentukan sendiri nasib etnik mereka dalam sebuah negara bangsa yang diidamkan.
Dalam konteks etno-pembangunan, penentuan kehendak etnik ini dapat dicapai melalui kemampuan masyarakat yang didukung oleh dasar awam yang mempromosikan aspek penyertaan dan sikap berdikari kelompok etnik dalam proses membuat keputusan dan pengelolaan sumber daya mereka sendiri. Hal ini dapat mencakupi dalam pelbagai strategi, seperti memperkuat institusi-institusi tempatan, termasuk menubuhkan koperasi bagi meningkatkan penyertaaan masyarakat dalam proses pembangunan dan membangun bakat dan tenaga berpotensi dan membina upaya kemampuan ekonomi kelompok etnik itu sendiri.
Pluralisme budaya
Dalam etno-pembangunan pluralisme budaya bermaksud meraikan dan mengiktiraf serta menghormati kepelbagaian budaya yang ada dalam sesebuah masyarakat atau wilayah untuk mempromosikan suasana harmoni antara kelompok budaya yang berbeza.
Aspek ini juga bererti untuk memperkuatkan identiti budaya masyarakat melalui pengiktirafan kepelbagaian tersebut. Maka ia perlu melibatkan pengembangan strategi dan program pembangunan yang memperkuat keberagaman budaya sebagai aset penting untuk pembangunan yang berpanjangan dan inklusif.
Salah satu strategi penting dalam mempromosikan pluralisme budaya adalah membangun pemahaman dan penghargaan di antara kelompok etnik itu sendiri.
Hal ini dapat dicapai melalui program pendidikan, media dan kegiatan sosial yang memperkenalkan kebudayaan kelompok etnik yang berbeza dan meraikan kepelbagaian tersebut.
Kelestarian ekologi
Kelestarian ekologi merujuk kepada usaha untuk membina kemajuan dan kesejahteraan ekonomi, sosial, dan budaya suatu kelompok etnik dengan mempertahankan dan meningkatkan keseimbangan persekitaran dan ekosistem secara berterusan. Pembangunan perlu bergerak ke depan tanpa pemusnahan sumber alam sekitar yang boleh mengancam kehidupan masa depan.
Maka, aspek persekitaran dan usaha menghasilkan pendapatan dan ekonomi dianggap sama penting dan perlu diberikan keseimbangan. Aspek ini meningkatkan lagi strategi dan program pembangunan yang memberikan tumpuan aspek kesan alam sekitar berdasarkan kegiatan ekonomi, serta tidak mengabaikan hubungan antara manusia dan alam.
Hal ini dapat dicapai melalui pelbagai strategi, seperti pengembangan ekonomi yang berterusan, pengelolaan sumber daya alam yang bijaksana dan pengurangan pencemaran yang boleh merosakkan alam sekitar.
Selain itu, kelestarian ekologi juga melibatkan usaha untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang pentingnya alam sekitar dalam kalangan masyarakat dan kelompok etnik itu sendiri. Hal ini dapat dicapai melalui program pendidikan, kempen kesedaran dan penyertaaan proses membuat keputusan mengenai sumber alam semula jadi.
Pencapaian
Idea etno-pembangunan digunakan untuk merujuk rangka pembangunan masyarakat peribumi Mexico yang banyak dimonopolikan oleh kelompok mestizo yang lebih maju. Maka pembangunan setempat dibangunkan bagi mereka menentukan nasib dan masa depan mereka sendiri. Di sini wujudlah ‘ekopelancongan’ yang diwujudkan oleh pihak kerajaan dan peribumi untuk menjana pendapatan dan kelompok peribumi boleh terlibat, mengawal dan menyertainya secara dinamik.
Di Taiwan, penduduk peribumi Bunun berjaya membina hostel, restoran organik dan mempunyai dewan untuk seni persembahan, bengkel kraf tangan tradisional dan mampu menarik minat generasi baharu mempelajari sejarah budaya dan wilayah komuniti mereka.
Begitu juga kalangan peribumi Zuni di New Mexico, Australia juga aktif dalam memastikan konsep etno- pembangunan dapat diterapkan dalam pembangunan etnik setempat. Tanpa mengira ideologi, fokus etno-pembangunan dibuat sebagai dasar nasional atau diterapkan projek kebangsaan bagi memajukan etnik peribumi setempat. Usaha ini juga mulai popular di negara ini termasuk di Sarawak.
Ternyata, pendekatan etno-pembangunan ini dapat membangunkan wilayah yang jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan pembangunan dan mampu menangani isu kesenjangan antara bandar dan luar bandar serta dapat meningkatkan lagi kesejahteraan masyarakat. Etnik disasarkan terlibat sendiri dalam proses perancangan, pelaksanaan, pelaksanaan pembangunan di kawasan setempat mereka sama ada dalam pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan juga ekonomi.
Dari segi ekonomi tempatan pengembangan seperti kraftangan, makanan tradisional, mampu mengembangkan sektor pelancongan budaya yang dapat membangunkan modal insan dan mempopularkan kearifan tempatan yang ada. Penglibatan masyarakat tempatan didukung pula oleh pihak agensi kerajaan dan swasta akan merancakkan lagi pembangunan setempat.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).