KUCHING: Kabel bawah tanah bagi membolehkan pembekalan tenaga elektrik antara faktor projek naik taraf dan pembesaran Jalan Matang perlu dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, meskipun kontraktor baharu telah dilantik, projek akan mengambil sedikit masa atas faktor kabel bawah tanah membekalkan tenaga elektrik sedia ada perlu dikendalikan dengan baik.
“Talian kabel elektrik bawah tanah menjadi cabaran pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyiapkan projek naik taraf dan pembesaran Jalan Matang di sini.
“Pihak Syarikat Sesco Berhad (Sesco) tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai kabel tersebut dan di mana lokasi kabel tersebut berada,” katanya
ketika diminta mengulas mengenai kemajuan projek tersebut ekoran kesesakan melampau yang berlaku di jalan tersebut baru-baru ini.
Fazzrudin menambah, pihak Sesco sedang mengenal pasti dan memperincikan jajaran talian kabel ini kerana kita tidak mahu dalam melaksanakan kerja pembinaan kelak, akan berlaku kemalangan jiwa kepada pekerja kontraktor dan pengguna jalan.
“Ia perlu diselenggara dengan baik kerana perkara berkaitan elektrik sangat bahaya jika ia tidak dikawal dengan baik.”
Projek jalan baharu Matang dengan kos RM67 juta melibatkan kerja menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong.
Ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dengan kontraktor baharu yang telah dilantik pada November lepas.