Rata-rata orang Asia bergantung kepada nasi sebagai makanan ruji mereka. Justeru beras merupakan komoditi yang perlu sentiasa terjamin bekalannya, baik untuk keperluan domestik mahupun untuk dieksport.
Bagi Sarawak, kadar pengeluaran berasnya masih rendah dan setakat ini hanya mampu memenuhi 38 peratus daripada keperluan negeri.
Tiada pilihan, Sarawak perlu mengimport beras dari negara luar.
Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2022, Sarawak perlu mengimport 145,468 metrik tan beras dalam tahun 2021 dengan nilai RM387 juta.
Malah tahap sara diri (SSL) yang rendah memberi impak kepada bekalan makanan Sarawak sekarang ini.
Jumlah keluasan penanaman padi di Sarawak menurun dengan ketara dari 130,000 hektar dalam tahun 2012 kepada 83,000 hektar dalam tahun 2021.
Akibatnya, jumlah keluaran beras juga menurun dari 142,000 metrik tan dalam tahun 2012 kepada 89,400 metrik tan dalam tahun 2021.
Bagi mencapai tahap sara diri yang memuaskan pada kadar 60 peratus menjelang 2030, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak telah menggariskan enam inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran beras negeri ini.
Antaranya termasuklah memulih dan menaik taraf infrastruktur di 14 skim perparitan dan saliran di seluruh Sarawak yang melibatkan kawasan seluas 2,828 hektar.
Ini membolehkan skim-skim berkenaan sesuai untuk penanaman padi, selain membendung lebih banyak tapak penanaman padi digunakan oleh petani untuk menanam tanaman lain seperti kelapa sawit.
Kementerian juga akan membangunkan beberapa kawasan baharu untuk penanaman padi.
Antara kawasan yang sudah dikenal pasti termasuklah 100 hektar tanah di Kampung Mujat di Serian dan 3,000 hektar lagi di Abok-Selepong di Sri Aman.
Selain itu, kementerian juga aktif mewujudkan model perkongsian awam-swasta untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta di dalam penanaman padi.
Di bawah inisiatif ini, kerajaan akan menyediakan infrastruktur asas seperti pembinaan sistem perparitan dan lain-lain kemudahan, manakala sektor swasta pula melabur untuk pengeluaran padi, pemprosesan padi selepas tuaian dan seterusnya pemasaran.
Justeru, satu model baharu iaitu Model Penanaman Padi Berskala Besar SMART (SMART SBB) akan diperkenalkan di Sarawak.
Selain itu, inisiatif mekanisasi dan automasi juga akan dipromosi kepada para penanam padi di Sarawak ke arah meningkatkan produktiviti.
Di dalam hal ini, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) digalakkan untuk menyediakan perkhidmatan mekanisasi ladang kepada ahli masing-masing bagi mencapai produktiviti tinggi.
Hasil yang lumayan bermula daripada benih padi yang baik.
Sehubungan itu, para petani digalakkan menanam padi dari varieti bermutu tinggi yang berpotensi untuk menghasilkan antara lapan hingga 10 tan padi bagi setiap hektar.
Kementerian juga akan bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan akademik serta firma-firma swasta untuk menghasilkan benih padi berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti padi.
Seterusnya, kementerian juga akan memperkenalkan insentif kepada para penanam dan pengeluar padu untuk menggalakan pengeluaran padi domestik.
Insentif ini antara lain bertujuan menggalakkan para pemilik tanah untuk memaksimakan penggunaan tanah bagi penanaman padi dan seterusnya meningkatkan pengeluaran padi.
Oleh HAINI DARANI