Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited mempromosikan produk-produk makanan dan hasil pertanian para usahawan industri makanan dan pengusaha pertanian di Sarawak menerusi Program Sarawak FAMA Fest Tahun 2023 (SAFF 2023).
SAFF 2023, yang berlangsung di pusat beli-belah Bintang Mega Mall di Miri merupakan medan pertemuan antara agensi kerajaan, petani dan usahawan dalam menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan pada harga munasabah dan mampu dibeli oleh pengguna.
Program itu bertujuan mengetengah serta mempromosi produk makanan keluaran usahawan tempatan kepada masyarakat tempatan khususnya di Miri, Sarawak dan Brunei Darussalam.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Berucap pada majlis itu, Foong Hin berkata, SAFF 2023 merupakan program edisi kedua FAMA setelah dilaksanakan kali pertama pada 2019.
“Kami menyasarkan sebanyak RM400,000 jualan untuk majlis yang berlangsung selama empat hari di Bintang Megamall.
“Memandangkan Bandar Raya Miri berdekatan dengan negara jiran, Brunei Darussalam, jadi kami berharap melalui platform ini, kita dapat mempromosikan produk tempatan kepada rakan Asia Tenggara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program SAFF 2023 di sini, baru-baru ini.
Dalam penganjuran SAFF 2023 ini turut diadakan program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Pelaksanaan JTDL juga dilihat sebagai program “quick win” FAMA dalam membantu para petani memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.
Untuk rekod, JTDL pada tahun lepas mencatatkan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM16.29 juta dengan penglibatan 7,586 usahawan di 1,031 lokasi di seluruh negara dengan RM1.6 juta nilai penjimatan.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung ke SAFF 2023, antaranya padanan perniagaan (business matching), demo masakan, bermukun (aktiviti hiburan masyarakat Melayu Sarawak), pertandingan masakan dan lain-lain.
FAMA turut menyasarkan potensi nilai eksport sebanyak RM3 juta menerusi sesi padanan perniagaan.
Bagi tujuan ini, FAMA membawa agen pemasar dari Brunei, Thailand, Hong Kong dan China untuk membantu memperluaskan pasaran produk agromakanan Malaysia khususnya keluaran usahawan Sarawak ke pasaran global.
Ia bertujuan menggalakkan usahawan meneroka pasaran global yang lebih luas dan menguntungkan menerusi agen pemasaran pada masa sama memiliki outlet pasaran atau akaun utama di destinasi masing-masing.
Hadir sama ,Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Negeri Sarawak, Abdul Rahman Ismail.
Oleh Liong Chai Ling