KUCHING: Senator Dewan Negara Dato’ Ahmad Ibrahim menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Awam Darat 2023.
Katanya, pembentangan pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat ini dilihat amat signifikan dalam menyokong variasi pengangkutan awam darat di Malaysia.
“Tahniah kepada Kementerian kerana pindaan-pindaan baharu yang dibuat terutamanya dalam perkhidmatan kenderaan P-Hailing, perlaksanaan caj permit masuk kenderaan (VEP) dan beberapa penambahbaikan terhadap tatakelola pelesenan dan syarat operasi pengangkutan awam darat amat dinantikan oleh rakyat Malaysia.
“Aplikasi elektronik yang dibangunkan untuk menyedia platform niaga perkhidmatan
pengangkutan awam sudah menjadi satu industri yang berkembang pesat sejak kebelakangan ini.
“Justeru dalam pindaan ini, usaha kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan kenderaan P-Hailing tersusun dengan berpandukan beberapa ketetapan seiring dengan peraturan-peraturan yang diperuntukkan dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Dato Ahmad berkata, mengenai caj permit masuk (VEP), adakah kerajaan akan mengenakan syarat yang ketat terhadap kenderaan asing yang pernah atau mempunyai rekod saman yang tinggi ketika berada di Malaysia.
“Kita tidak mahu kenderaan asing memanipulasi undang-undang sedia ada dan bermaharajalela melakukan kesalahan di Malaysia.
“Selain itu, pemeriksaan ketika di pintu masuk sempadan Malaysia mestilah ditambah baik dengan standard tatakelola supaya tidak ada lagi pelanggaran kenderaan asing masuk ke negara.
“Isu ini, akan menjadi isu berbangkit sekiranya tidak ada pemantauan yang ketat. Kita tidak mahu ada kelompongan terhadap entri atau kemasukan kenderaan ke Malaysia,” katanya.
Tambah Dato Ahmad, beliau berharap agar dengan adanya caj permit masuk (VEP) ini dapat menutup terus ruang jalan tikus terhadap kenderaan asing masuk sesuka hati tanpa permit.
Oleh Mohd Neenatul Aizal